Malaysia Dateline

PM tidak menghadap Agong petang ini

Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin disahkan tidak menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara petang ini.

Perkara tersebut dimaklumkan pihak keselamatan bertugas di perkarangan Istana Negara sebentar tadi terhadap pihak media yang sedang berkumpul.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan dijangka menghadap Seri Paduka Baginda petang ini.

Kemungkinan pertemuan Mahiaddin dengan Seri Paduka itu susulan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tengah malam tadi yang menarik sokongan terhadapnya.

Keputusan MKT Umno itu menyebabkan Mahiaddin hilang majoriti dan Kabinet PN pada masa ini tergantung.

Dalam masa sama, tiada mana-mana parti atau gabungan parti mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan baharu apabila Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak akan menyokong pencalonan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Pada masa ini, blok kerajaan hanya tinggal 77 kerusi iaitu Bersatu (32), Pas (18), GPS (18), STAR (1), MIC (1), PBRS (1), PBS (1), MCA (2) dan Bebas (3).

Sementara itu, blok pembangkang kini menjadi 143 kerusi iaitu Pakatan Harapan (89), Umno (38), Warisan (8), Bebas (5), PSB (2) dan UPKO satu kerusi.