PM, TPM dan pemimpin PH zahir takziah buat keluarga Adun Semenyih

PM, TPM dan pemimpin PH zahir takziah buat keluarga Adun Semenyih

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor yang meninggal dunia awal pagi tadi.

“Saya berasa dukacita atas pemergian Allahyarham YB Bakhtiar Mohd Nor, ADUN Semenyih dan mengambil kesempatan menyampaikan salam takziah buat keluarga Allahyarham,” katanya menerusi catatan di laman Twitternya hari ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mendoakan moga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin dan keluarga Allahyarham tabah dengan dugaan ini.

Allahyarham Bakhtiar, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pukul 4.45 pagi akibat serangan jantung.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan sejurus solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.

Tonton video disini:

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerusi Twitternya juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan rakan seperjuangan Bersatu.

“Innalillahi wa’inna ilaihi raji’un. Salam takziah diucapkan buat keluarga Allahyarham, sahabat handai dan rakan seperjuangan daripada @PPBMofficial.

Loading...

“Semoga roh Allahyarham Bakhtiar, Adun Semenyih dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh,” kata Dr Wan Azizah.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu menerusi kenyataan di laman Facebook beliau mengutuskan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Bakhtiar.

“Takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Tuan Bakhtiar Mohd Nor, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Semenyih yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman. Al Fatihah,” katanya.

Turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Bakhtiar ialah Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Twitternya: “Salam takziah dari saya dan seluruh keluarga besar Keadilan. Semoga keluarga tabah menghadapi dugaan ini, didoakan supaya Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh”.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ucapan takziahnya mendoakan Allahyarham mendapat husnul khatimah dan rohnya ditempatkan di syurga yang penuh nikmat Allah SWT.

Mohamed Azmin melalui catatan di Twitternya ketika dalam perjalanan untuk menziarahi jenazah Bakhtiar di Semenyih berkata beliau bersama Allahyarham melancarkan projek perumahan Selangorku di Semenyih minggu lepas.

“Sayu mendapat berita sedih awal pagi ini. Semoga keluarganya sabar dan reda dengan ketentuan Allah SWT,” kata Mohamed Azmin.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertahanan dalam utusan takziah di akaun Twitternya buat keluarga dan sahabat andai Allahyarham berkata semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lepas, Bakhtiar yang mewakili Bersatu menewaskan calon BN, PAS dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 8,964 undi.

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.- BERNAMA