PM umum moratorium enam bulan

Oleh ARIF ATAN

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mengumumkan langkah pelaksanaan moratorium enam bulan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.

Menurutnya, permohonan baharu tidak mengenakan syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan tentang kehilangan pekerjaan, dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan.

“Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.

“Permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021. Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan,” katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu itu berkata demikian dalam perutusan khas sempena pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), sebentar tadi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh tersebut berkata, pemegang polisi insurans dan takaful yang terjejas juga boleh memohon penangguhan pembayaran premium insurans dan sumbangan takaful (secara opt-in), yang akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

Inisiatif tersebut, jelasnya, merangkumi pemegang polisi dan sijil insurans hayat dan takaful keluarga.

“Lebih 1 juta rakyat dijangka memperoleh manfaat daripada pelanjutan ini. Jumlah keseluruhan nilai premium dan sumbangan yang ditangguhkan dianggarkan sebanyak RM2.6 bilion,” katanya.

Mahiaddin berharap inisiatif moratorium itu sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini.

Bagaimanapun, katanya lagi, tawaran itu perlu digunakan dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, tidak perlu dibuat tambahan komitmen kewangan lain.

i-Citra

Selain itu, kerajaan turut akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu i-Citra.

Jelasnya, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000, dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan selama lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan semasa.

“Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan 30 bilion ringgit kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

“Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021,” katanya.

Mahiaddin berkata, hakikatnya kerajaan sedar, dana tersebut adalah simpanan hari tua rakyat, dan penyelesaian i-Citra mengambil jalan tengah antara keperluan mendesak hari ini, dan pulangan yang wajar bagi ahli-ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran.