PM usah kelirukan rakyat dengan GST

PM usah kelirukan rakyat dengan GST

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) membebankan rakyat walaupun ia menjai sumber hasil baru kerajaan.

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini, bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menyelamatkan ekonomi negara dan menampung hasil kerajaan serta dapat membantu rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) cukup mengelirukan.

Tidakkah perdana menteri sedar yang rakyat kini sedang bergelut dengan tekanan ekonomi akibat kenaikan harga barang, petrol, tol, kos sara hidup dan caj pengangkutan awam.

Jika benar GST membantu rakyat kenapa kadar tol perlu dinaikkan bukankah kutipan GST sebanyak RM27 bilion dalam tempoh sembilan bulan pada tahun 2015 lebih dari cukup untuk menampung bayaran kepada syarikat konsesi lebuh raya bagi mengelak kenaikan kadar tol.

Pemberian BR1M juga tidak membantu meringankan bebanan perbelanjaan rakyat kerana hanya segolongan rakyat sahaja merasainya sedangkan kos sara hidup yang lebih tinggi ini perlu ditanggung oleh semua segmen rakyat termasuk yang tidak menerima BR1M.

Malahan pemberian BR1M sebanyak RM1,000 setahun tidak setimpal dengan anggaran purata GST yang dikutip daripada setiap rakyat sebanyak RM7,000 setahun.

Hakikatnya kenaikan harga barang adalah akibat kesan langsung GST di mana pengilang, pemborong dan pembekal bagi sesuatu produk telah dikenakan GST. Maka harga produk siap yang dibeli rakyat perlu dinaikan akibat GST dikenakan di peringkat awal.

Bukankah tanggungjawab kerajaan adalah untuk meringankan beban rakyat dan bukannya menambah beban kami.

GST sesungguhnya membebankan rakyat walaupun ia menjai sumber hasil baru kerajaan. Kenapa rakyat harus dihukum dengan GST bagi menampung kekurangan hasil kerajaan sedangkan ia disebabkan oleh kelemahan dan salah urus kewangan negara.

Cukup melucukan GST membantu rakyat melalui pemberian BR1M sedangkan perdana menteri sendiri mengatakan hasil GST yang dikutip daripada rakyat digunakan bagi pemberian BR1M.

Dahulu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Datuk Ahmad Maslan berjanji GST akan mampu menurunkan harga barang, kini perdana meneri pula menyatakan GST membantu rakyat.

Sungguh sepadan dua pemimpin negara ini. Benarlah peribahasa Melayu menyebut umpama ketam mengajar anaknya berjalan. Usahlah perbodohkan rakyat lagi.

TAGS