Malaysia Dateline

PM usul lantik Zahid sebagai pengerusi PAC, Selasa depan

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan membentangkan usul melantik anggota Parlimen Bagan Datuk Datu Seri Ahmad Zahid sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa depan.

Perkara itu disahkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang turut menambah usul itu akan mencadangkan Anggota Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh dipilih sebagai timbalan Zahid.

Nga berkata, pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) telah memutuskan untuk mencontohi amalan parlimen Australia dan Britain yang melantik pemimpin pembangkang mengetuai PAC.

“Usul ini akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Undang-undang Liew Vui Keong. Ini adalah langkah pertama ke arah pembaharuan parlimen.

“Kami telah mengotakan janji kami,” kata Nga dipetik Malaysiakini.

Pentadbiran terdahulu melantik penyokong kerajaan untuk mengetuai PAC, yang sering mengundang kritikan apabila jawatankuasa itu dilihat tidak dapat berfungsi dengan berkesan bagi melakukan semakan terhadap kuasa eksekutif.

Nga berharap jika Zahid dilantik beliau antara lain akan menyiasat skandal utama termasuk 1MDB dan kerugian Khazanah Nasional akibat pelaburannya dalam sebuah syarikat pakaian dalam.

Sekiranya Zahid menolak jawatan itu, Nga berkata HARAPAN tetap akan memperuntukkan jawatan itu kepada anggota parlimen pembangkang.

“Hanya jika tiada anggota parlimen pembangkang yang mahu, maka kita mungkin perlu melantik seseorang daripada penyokong kerajaan,” katanya.

PAC merupakan jawatankuasa yang diberikan kuasa untuk menyiasat kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan.