PM yakin sinergi padu ADIA, Malaysia hasilkan ekonomi mampan untuk negara

Oleh BORHAN AHMAD

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, sinergi padu antara Malaysia dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) menjelmakan keyakinan terhadap potensi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan berdaya saing.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan para pemimpin ADIA dan syarikat-syarikat pelaburan dari United Arab Emirate (UAE) yang berlangsung di Abu Dhabi sekarang.

Menurut Anwar, ADIA hadir dengan membawa bersama-sama suara rakan syarikat pelaburan global yang lain dalam menerokai pelbagai peluang pelaburan yang terhidang di Malaysia.

“Tidak mustahil, pelaburan jangka panjang dapat disuntik termasuk membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga, Insya-Allah,” kata Anwar dalam satu kenyataan ringkasnya hari ini.

Anwar dalam rangka lawatan ke UAE sebelum ke beberapa negara lain untuk memenuhi jemputan dan juga pertemuan rasmi dengan beberapa pemimpin dunia.

JARINGAN LUAS

Sementara itu, para penganalisis menyifatkan, kejayaan Anwar dalam hubungan antarabangsanya disebabkan oleh hubungan dan jaringan yang luas antara beliau dengan pemimpin dunia.

Pensyarah Kanan Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, hubungan dan jaringan PMX dengan negara luar amat luas.

“Dia seorang pemimpin yang dipercayai an dipandang tinggi oleh dunia Islam dan antarabangsa,” kata Dr Mazlan kepada Malaysia Dateline.

Berhubung dengan dakwaan Anwar terlalu banyak membuat lawatan keluar negara, Dr Mazlan berkata, apa salahnya jika ia untuk kepentingan negara.

“PMX pergi untuk bekerja, bukan makan angin macam pemimpin-pemimpin tertentu.

“Kita kena lihat apa yang PMX buat. MoU, MoA, bertemu pelabur.

“Jika ini yang dibuat, tidak menjadi masalah bagi saya.

“Lagipun dia perlu penuhi undangan demi menjaga diplomatic,” kata Dr Mazlan yang membuat banyak kajian tentang politik.