Malaysia Dateline

PM8: Isu peralihan kuasa adalah liabiliti gugat kestabilan PH

Semua pihak harus prihatin dan peduli secara serius isu peralihan kuasa Perdana Menteri yang dilihat menimbulkan pelbagai kecamukan dalam komponen parti Pakatan Harapan (PH) sejak kebelakangan ini.

Malah kepedulian ini mampu menstabilkan kedudukan PH dan mendorong rakyat untuk meneruskan keyakinan mereka terhadap apa yang telah dicanang-canangkan sebelum memenangi pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu.

Dr Zaidi Zakaria

Demikian diluahkan oleh Naib Pengerusi 1 AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Tegasnya lagi , persoalan peralihan kuasa ini akan berterusan menjadi persepsi dan teka-teki yang bukannya mengukuhkan PH yang sedang PH dokongi, sebaliknya semakin hari semakin menggugat kestabilan PH.

“Kecelaruan yang tidak ketentuan dan kepastian rasmi lagi jelas serta terang dari Majlis Presiden PH soal peralihan kuasa ini menjadi satu liabiliti yang membebankan PH.

“Meskipun Dr Mahathir berhasrat murni untuk membetulkan landasan negara, beliau harus percaya penggantinya dan seluruh jemaah Menterinya dan PH mahu membetulkan kepincangan negara, ” saran beliau yang juga merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang.

Jelas beliau, semua pihak harus melihat jangka masa panjang apa yang akan berlaku pada masa hadapan dan isu peralihan kuasa ini tidak boleh dipandang enteng.

“Jika diumumkan oleh Majlis Presiden PH dan Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi tarikhnya 31 Disember 2020 dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penggantinya, maka teka-teki akan berakhir serta menyelesaikan kemelut yang berpanjangan sekian lama.

“Manakala mereka yang tidak bersetuju besar kemungkinan tidak lagi berani untuk menimbulkan kecelaruan menentang keputusan rasmi arus perdana kepimpinan PH.

“Namun begitu seandainya polemik peralihan kuasa ini tidak menjadi realiti, apa akan terjadi sekiranya tiada keputusan rasmi tarikh peralihan kuasa dan siapa akan menggantikan Tun Mahathir juga menjadi persoalan yang tidak harus dipandang ringan, ” ujar beliau.

 

Kata Dr Zaidi lagi, PH tidak boleh disamakan dengan BN kerana ini merupakan penggal sulung bagi PH dan bukannya penggal ke 13 untuk BN.

“”Dalam lain ertikata, beliau ( Dr Mahathir ) tidak boleh menyamakannya sepertimana dua peralihan kuasa dalam Umno dan BN yang telah lalu,

“Penggal sulung PH boleh diibaratkan seperti ‘Penyapu Baru’ yang mana ianya akan melakukan yang terbaik demi kepentingan rakyat yang telah memberi kepercayaan untuk menerajui kepimpinan negara dalam PRU ke 14 yang lalu.

“Ia amat jauh berbeza dari kumpulan penyangak dan kleptokrasi negara sebelum ini sehingga mengkayakan temolok pimpinan dan kroni-kroni mereka.

“Setakat ini Anwar terbukti merupakan pilihan terbaik yang ada dikalangan sedia ada demi kestabilan PH dan juga negara tatkala ini, tanpa kita melupakan sejarah laungan dan omongan yang acapkali diucapkan diatas pentas pidato PRU ke 14 bahawa beliau sebagai bakal PM yang akan dinobatkan setelah kemenangan diraih pada Mei 2018 yang lalu, ” kata beliau.