Malaysia Dateline

PM8: Pilih dikalangan pemimpin tiada liabiliti, elak ugutan, kata penganalisis politik

Dalam mendepani isu membabitkan peralihan kuasa bakal seorang Perdana Menteri perlu dikalangan pemimpin yang  tiada liabiliti, bersih dan suci daripada segala skandal dan keputusan yang dibuat kelak perlu menitikberatkan kepentingan rakyat dan negara, kata Penganalisis Politik Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Bersih dan suci dari segala skandal adalah kriteria utama menjadi seorang pemimpin lebih-lebih lagi sebagai seorang PM (Perdana Menteri).

“Pertama kejujuran dalam memimpin adalah begitu penting kerana setiap keputusan dan dasar yang dibuat untuk kepentingan rakyat dan negara bukannya untuk kumpulan tertentu atau diri sendiri.

“Kedua jika pemimpin terlibat dengan skandal kemungkinan isu ini boleh dijadikan bahan ugutan oleh pihak ketiga yang mempunyai bukti tentang skandal tersebut.

“Sebab itu sebaik baiknya pemimpin tidak mempunyai liabiliti apabila menjawat jawatan kritikal,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Azmi Hassan

Beliau diminta mengulas mengenai dua insinden yang berlaku dalam kepimpinan PKR  mutakhir ini, membabitkan  dakwaan yang dibuat ke atas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Muhammad Yusof Rawhter dengan laporan  akuan sumpahnya yang mendakwa dia pernah dicabul bekas majikannya Anwar

Ia dilihat sebagai satu lagi halangan baru yang terpaksa dilalui Anwar untuk terus menjadi orang no 1 negara. Ini kerana Presiden PKR itu sebelum ini terkait dengan isu moral sehingga dipenjara 10 tahun.

Bahkan kemelut kepimpinan dalam dua kem PKR antara penyokong Anwar dan Timbalan PKR  Datuk Seri Mohamad Azmin Ali terserlah ketika Kongres Keadilan Nasional di Melaka dan majlis yang diadakan di Hotel Renaisance.

Mengulas lanjut kata Azmi lagi, suasana politik Malaysia adalah begitu sensitif dengan sebarang isu berkaitan moral terutama yang membabitkan pemimpin-pemimpin politik tertinggi dalam parti dan negara.

“Kemungkinan sokongan ahli tidak akan banyak berubah jika isu Yusof Rawther atau video Azmin hendak diambil kira kerana ahli parti PKR kedua-dua kem bagaikan begitu teguh dengan memberi sokongan kepada pemimpin pilihan mereka.

“Tetapi apa yang lebih penting adalah persepsi rakyat umum kerana isu ini sudah pasti mengugat kepercayaan mereka terhadap seseorang pemimpin.

“Ini sekai gus akan mengugat sokongan rakyat bukan sahaja terhadap PKR tetapi lebih membimbangkan sokongan rakyat terhadap kerajaan PH juga akan menjadi rapuh,” ujarnya.

Menurut Azmi lagi, bukan menjadi rahsia dalam PKR dan PH telah berlaku sokongan sama ada kepada Anwar atau Azmin  secara terbuka dalam isu PM8.

“Jadi isu mengaitkan Anwar dengan kes moral dianggap senjata paling ampuh kerana sejarah lampau telah membuktikan strategi ini sentiasa menjadi.

“Dalam hal ini pembangkang hanya memerhatikan dari tepi kerana amat pasti dalang adalah orang dalam sama ada dari PKR atau PH itu sendiri,” dakwanya.

Ditanya akan dakwaan wujud usaha pintu belakang antara Bersatu dan Umno  untuk menarik ahli Umno menyertai PH untuk menolak Anwar PM8 ada kewajarannya?  Azmi menambah,” jika dinilai sokongan terbuka Pas dan yang  tersiratnya apabila  beberapa Ahli Parlimen Umno memberi sokongan  terhadap  Tun M  maka kemungkinan itu ada pemberatnya yang menjurus kepada besar kemungkinan wujud konspirasi tersebut,” ujarnya..

Mengenai  kemelut dalaman yang berlaku di dalam Kongres Keadilan Nasional di Melaka baru-baru ini, Azmi  tidak menolak peranan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Beliau bersetuju dengan pandangan Majlis Presiden perlu masuk campur dalam mengendurkan pertelagahan antara dua kumpulan penyokong Presiden dan Timbalan Presiden PKR itu.

“Jika hendak dibiarkan kedua-dua pemimpin yang bertelagah mencari penyelesaian adalah agak mustahil kerana Anwar menuduh Azmin sebagai pembelot sementara Azmin pula menuduh Anwar mungkir janji.

“Apa yang berlaku di Kongres PKR dan Hotel Renaissance adalah manifestasi jelas keterlanjuran yang tidak dapat diundur lagi.

“Sebab itu kemelut ini memerlukan entiti yang tidak berat sebelah seperti Majlis Presiden tetapi masalahnya pula ada ahli Majlis ini berkait secara langsung dengan kemelut dalaman PKR yang berkemungkinan Majlis tidak mampu capai keputusan adil,” ujarnya.

Isu peralihan  kuasa Perdana Menteri  Tun Dr Mahathir telah diputuskan di mana Mahathir telah mengumumkan bahawa akan serah jawatan Perdana Menteri itu selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang akan menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah pada November 2020 kelak.

Walaupun ada desakan  mahukan  Dr Mahathir  yang berusia 93 tahun itu untuk  tempoh sepenggal.