Malaysia Dateline

Anuar Tahir ketika merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH Selangor di Bangi semalam

PM9: Pemuda AMANAH Nasional sangkal tuduhan khianat PKR

Pemuda AMANAH Nasional hari ini menyangkal dakwaan bahawa AMANAH mengkhianati Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membuat kesepakatan bersama pihak lain untuk dipilih sebagai calon Perdana Menteri.

Naib Ketuanya, Kevin Shawn Gomez berkata, pihaknya terkilan dengan tuduhan yang dikatakan semberono apabila menuduh AMANAH mengkhianati Presiden PKR itu.

Kevin Shawn Gomez

Menurutnya, meskipun memiliki pandangan berbeza dalam menentukan calon Perdana Menteri, namun kesepakatan telah dicapai untuk mempertahankan mandat rakyat dengan segera.

“Kami menyokong dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti bersama-sama pimpinan Pakatan Harapan Plus yang lain, untuk membuat keputusan terbaik bagi menyelesaikan kemelut calon Perdana Menteri kesembilan.

“Wajib diingatkan sebahagian besar pimpinan dan akar umbi AMANAH adalah mereka yang telah bersama bergelumang dalam perjuangan Reformasi sejak 1998 lagi sehingga kini.

“Malah, antara pengasas awal Parti Keadilan Nasional pada ketika itu adalah sosok tubuh bernama Anuar Tahir, bekas Setiausaha Agung AMANAH,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, timbul ketegangan apabila PKR Perak menggelar rakan sekutu Pakatan Harapan tidak mengenang budi kerana didakwa sekali lagi cuba mengetepikan Anwar Ibrahim dari diangkat sebagai peneraju utama Pakatan Harapan.

Farhash Wafa Salvador berkata, DAP dan AMANAH seharusnya menyatakan pendirian untuk bersama-sama Anwar yang selama ini teguh bersama mereka.

Farhash turut mempersoalkan adakah ini caranya rakan-rakan gabungan PH membayar harga sebuah setiakawan yang dibina lebih 20 tahun.

Terlalu beremosi

Mengulas lanjut, Kevin menegaskan agar kepimpinan PKR dan seluruh komponen Pakatan Harapan Plus tidak terlalu beremosi dengan membuat tuduhan-tuduhan liar yang boleh memecah belahkan Pakatan Harapan.

Jelasnya, PH Plus perlu memfokuskan kepada dua perkara penting ketika ini iaitu mengembalikan mandat rakyat dengan mengambil alih semula kerajaan dan membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Persengketaan hanya akan merugikan Pakatan Harapan yang selama ini berjuang menumbangkan kleptokrat.

“Sekiranya persengketaan ini berpanjangan, PH akan berdepan dengan defisit keyakinan daripada rakyat yang mahukan kita mengambil semula mandat PRU ke-14,” ujar Kevin lagi.

“Sekiranya persengketaan ini berpanjangan, PH akan berdepan dengan defisit keyakinan daripada rakyat yang mahukan kita mengambil semula mandat PRU ke-14,” ujar Kevin lagi.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil turut tampil menjelaskan bahawa AMANAH sama sekali tidak pernah melupakan jasa Anwar Ibrahim.

Malah, Faiz menegaskan bahawa cadangan memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kerana beranggapan Pengerusi Bersatu yang dipertikaikan jawatan itu mampu memperoleh sokongan melebihi 112 undi.

Namun katanya ini bukan bermakna AMANAH tidak mencalonkan Anwar sebagai PM kerana yang terpenting ketika ini adalah mencalonkan pemimpin yang mampu memperoleh sokongan lebih ramai ahli Parlimen yang bukan daripada gabungan PH sendiri.

Adun Permatang Pasir itu juga berkata, tempoh menjadi Timbalan Perdana Menteri itulah masa paling sesuai untuk Anwar mengumpul lebih banyak sokongan ahli Parlimen dan meraih kembali kepercayaan rakyat kepada PH.