PMIUM tolak keputusan HEPA, kepimpinan kekal sah

PMIUM tolak keputusan HEPA, kepimpinan kekal sah

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) sebulat suara menolak arahan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) universiti itu supaya persatuan itu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan semula.

Arahan tersebut dikeluarkan selepas beberapa minggu pihak persatuan menanti keputusan HEPA berhubung status PMIUM.

“Kami, PMIUM telah sepakat untuk menolak arahan bagi mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) semula sebagaimana lampiran surat yang tertera. Kami berpendirian bahawa kepimpinan yang dipilih dalam AGM lalu masih kekal sebagai kepimpinan PMIUM yang sah,” kata presidennya Ahmad Syifaa Abd Khaliq dalam satu kenyataan 2 Novermber lalu.

“Kesilapan paling asas Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) ialah tidak menghantar wakil mereka dalam AGM. Kegagalan ini diburukkan lagi apabila HEPA dengan sewenang-wenangnya menerima aduan daripada seseorang yang tidak boleh dibuktikan sebagai ahli PMIUM yang sah.

“PMIUM telah sedaya upaya mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan. Adalah tidak munasabah untuk memaksa PMIUM melakukan AGM semula tanpa sebarang siasatan melalui tribunal yang terbukti adil dan saksama,” jelasnya.

Menurut beliau, pemaksaan ini merupakan tindakan berat sebelah yang ingin menafikan kelemahan pengurusan sistem HEPA dan menutup kegagalan untuk wakil HEPA hadir ke AGM PMIUM yang lalu. Sekiranya wakil mereka hadir, pastinya perkara ini langsung tidak berbangkit.

“PMIUM mendesak agar arahan ini dibatalkan serta-merta dan sebulat suara menerima kepimpinan yang telah dipilih pada AGM lalu sebagai sah berdasarkan kepada kaedah yang telah ditetapkan,” kata Ahmad Syifaa.

6.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 10.0
CATEGORIES