Malaysia Dateline

PMO beri Dr Noor Hisham ‘cuti’ hari ini

Sosok utama dalam hal berkaitan pandemik Covid-19 di negara ini adalah Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Lelaki berjaket hitam yang tertera perkataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini menjadi individu yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia untuk muncul setiap petang bagi mengetahui perkembangan terkini pandemik Covid-19 negara ini, lapor Metro.

Setiap kali beliau mengumumkan jumlah jangkitan kes baharu menurun, ia memberikan satu kelegaan buat semua orang, tetapi jika sebaliknya jika kes meningkat, ia mendatangkan kegusaran.

Petang ini beliau tidak muncul untuk urusan biasanya, selepas lima bulan bekerja tanpa henti dan ‘bersilat’ ketika menjawab soalan wartawan setiap hari.

Ketiadaan beliau petang ini adalah kerana beliau telah diberi cuti oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) daripada membuat sidang media dan pihak media dimaklumkan hari ini bahawa sidang media KKM bagi perkembangan terkini Covid-19 dibatalkan.

Kenyataan media mengenai perkembangan terbaru Covid-19 dikeluarkan oleh KKM pada 4.30 petang hari ini.

Dr Noor Hisham diberi cuti oleh PMO daripada melakukan sidang media hari ini, namun tugas lain masih berjalan seperti biasa.