Berhubung isu kalimah Allah di stoking yang dijual secara terang-terangan di kedai serbaneka KK Mart, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan segera diambil mengikut undang-undang.
Pada masa sama Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya tidak sesekali melakukan penghinaan terhadap agama Islam lapor Harian Metro.
“Pandangan saya jelas, ada laporan keterlanjuran mesti ada tindakan segera, keputusan ikut jalur hukum dan maju terus, kenapa kita harus terperangkap dengan isu ini berpanjangan?
“Ada laporan ambil tindakan, jangan ada penghinaan terhadap agama … apa lagi Islam, jadi jangan kita terus-menerus dengan perbincangan ini seolah-olah ia satu malapetaka besar di dalam negara,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Dalam pada itu Menteri Kewangan tersebut juga menghormati pandangan pemimpin lain tapi mengingatkan supaya tidak terlanjur menghukum dan mengikut pemikiran sempit.
“Dalam kerangka badan politik yang bebas dan demokratik, tidak boleh ikut sistem wala’ (kerana) dalam parti yang wala’ yang kekang pemikiran bebas, ia tidak izinkan … masalah ada, tindakan diambil dan maju terus,” katanya.
Tegasnya lagi, apa sahaja bentuk hukuman yang diberikan hendaklah dalam bentuk yang tidak melampau.
“Ada orang lakukan kesalahan seperti kita juga lakukan kesalahan, kadang-kadang kecuaian. Jadi, jangan ikut seolah-olah mendera orang lebih daripada yang sepatutnya,” katanya.
Baca juga: Isu stoking tertera kalimah Allah, Jakim beri amaran keras kepada KK Mart