Malaysia Dateline

PN 2.0 tambah buruk imej Maaysia di mata dunia

Tidak dapat dinafikan bahawa medan politik negara kita menghadapi defisit moral yang teruk selepas langkah Sheraton yang menyaksikan tampuk pemerintahan negara berubah. Usia pentadbiran PH yang hanya bertahan selama 22 bulan berakhir akibat sebahagian ahli parlimennya berpaling tadah.

Mereka berbondong-bondong meninggalkan tugas untuk membangun semula negara atas alasan-alasan yang berbaur sentimen bagi membentuk perikatan politik baru bersama BN, Pas, Parti Gabungan Sarawak (PGS) dan beberapa parti Sabah. Tidaklah perlu untuk mengungkit semula alasan-alasan pengkhianatan itu kerana ia hanyalah sekadar naratif untuk menghalalkan tindakan itu.

Gendang kononnya kuasa politik Melayu semakin terhakis dan Islam semakin terancam di era pentadbiran PH bukanlah sesuatu yang real. Ia hanya direka-reka bagi menimbulkan keresahan orang Melayu. Apa yang berlaku sepanjang pentadbiran PN 1.0 membuktikan bahawa kempen Islam terancam dan kuasa politik Melayu dalam bahaya adalah modal murahan yang tidakpun berpijak di bumi nyata.

Dari isu kematian Adeeb yang kononnya tidak terbela, aset negara yang kononnya terjual hinggalah kepada faham liberal dan plural yang didakwa semakin berkembang; isu-isu tersebut akhirnya reda dan lenyap begitu sahaja bukan kerana ianya berjaya ditangani, tetapi kerana pihak yang selama ini memainkan sentimen itu sudah ‘mabuk’ di puncak kuasa.

Media dunia yang melaporkan Umno yang korup kini kembali berkuasa di Malaysia.

 

Tidak kedengaran lagi suara-suara mahukan hudud dan hukum pidana Islam dilaksanakan segera tanpa perkenan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama, malah memperkatakannya juga dianggap sebagai ‘bisikan syaitan’.

Pentadbiran PN 1.0 yang diterajui Parti Pribumi Bersatu menghadapi ujian getir bagi menghadapi wabak Covid 19. Perutusan demi perutusan yang dibuat perdana menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin gagal membendung wabak itu. Pentadbiran PH ditempelak hebat kerana kononnya menjadi punca wabak itu merebak kepada dua angka. Namun angka mereka yang dijangkiti bertambah kepada tujuh angka sepanjang 18 bulan usia pentadbiran PN 1.0 dengan program vaksinasi yang agak lewat dilaksanakan berbanding negara-negara jiran.

Tatkala negara menghadapi krisis Covid 19 dan kehidupan rakyat semakin terbeban ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP), parti-parti yang membentuk PN 1.0 bercakaran sesama sendiri untuk berebut kuasa. Ini menyaksikan perubahan teraju kepimpinan negeri daripada Bersatu kepada Umno di Johor dan Perak. Kerajaan-kerajaan negeri di Melaka, Kedah dan Sabah sudah terlebih dahulu berubah dengan Umno kembali menerajui di Melaka dan punyai kuasa yang signifikan di Kedah dan Sabah. Khabarnya perubahan juga bakal berlaku di negeri di bawah bayu itu.

Akhirnya penguasaan Umno secara beransur-ansur di peringkat negeri menjalar ke pusat apabila Mahiyaddin terpaksa meletakkan jawatan atas permainan politik Umno. Mahiyaddin dikambinghitamkan kerana didakwa gagal membendung wabak Covid 19 sedangkan timbalan perdana menteri dan menteri kanan yang ddiberi tanggung jawab menerajui kempen memerangi Covid 19 datang dari Umno. Ironinya, pemimpin itulah juga yang dicalonkan sebagai PM menggantikan Mahiyaddin.

Umno akhirnya berjaya merebut tampuk pemerintahan selepas drama demi drama menyaksikan Bersatu terpinggir ekoran permainan politik sendiri.

Drama yang berlaku dalam politik negara ini benar-benar menguji sistem demokrasi berparlimen. Di saat para penyokong Umno bergembira dengan apa yang berlaku dan parti-parti sekutu mereka menumpang laba, imej negara di mata masyarakat antarabangsa jatuh merudum.

The Guardian yang memetik laporan Associated Press tentang kemungkinan pemimpin Umno, Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri, mengaitkan parti itu dengan skandal berbilion ringgit 1MDB. Malah agensi berita antarabangsa itu memetik pandangan penganalisis bahawa Ismail Sabri Yaakob adalah ‘satu pilihan buruk’ kerana beliau dikaitkan dengan kegagalan pentadbiran Mahiyaddin. AP juga melaporkan bahawa kerajaan yang bakal dibentuk besar kemungkinan goyah. Akhbar dalam talian berpengaruh negara jiran, Kompas pada 19 Ogos memaparkan laporan bertajuk, “Meski korup (rasuah), Umno berpeluang besar isi posisi PM Malaysia” manakala Nikkei Asia dalam berita 19 Ogos menyebut, “Malaysia’s scandal-tarnished Umno poised to retake PM’s office”.

Nampaknya Malaysia kembali ke pentas dunia dengan imej yang kurang memberangsangkan. Di saat negara-negara serantau berusaha keras memerangi Covid 19, negara ini masih terkial-kial mewujudkan sebuah pentadbiran yang bersih dan bebas rasuah. Pentadbiran PN 2.0 punya tanggung jawab besar untuk mengikis imej buruk ini. Sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang.