Malaysia Dateline

PN beli pemain import dari Umno, jadi kalau gagal bukan Umno, kata Zahid

Umno terus menjauhkan diri mereka dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang disifatkannya sebagai gagal dengan menggunakan analogi PN hanya membeli pemain import dari Umno.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, “Ini ibarat sukan apabila pemain pasukan A diimport dan dibayar bermain untuk pasukan B.

“Jika pasukan B gagal adakah pasukan A juga perlu dipersalahkan?

“Ini dua organisasi yang berbeza. Pengurusan berbeza. Cara dan falsafahnya juga berbeza,” kata beliau menerusi Facebooknya hari ini.

Menurut Zahid, Umno tidak tahu pun Ordinan Darurat sudah dibatalkan sejak 21 Julai 2021 walau dalam keadaan ada segelintir Ahli Parlimen dari Umno sertai Kerajaan Persekutuan.

“Ini antara bukti mengapa Umno tidak boleh dikait dengan kegagalan Kerajaan Persekutuan.

“Ia kerana Ahli Parlimen dari UMNO terbabit bekerja untuk Kerajaan Persekutuan bernama PN.

“Bukan lagi Kerajaan Persekutuan bernama BN yang tewas PRU14 angkara fitnah,” katanya.