Malaysia Dateline

PN bermula dari buruk hingga ke akhir memburuk

Sudah setahun lebih Kerajaan PN mentadbir negara dengan saiz Kabinet yang besar – 70 menteri – berbanding saiz Malaysia yang tidak sebesar mana.

Apakah kemajuan yang negara kita telah capai? Yang jelas ialah sejak mula berkuasa, Kerajaan PN menghabiskan banyak masa menangani Covid-19 (yang masih melanda), hingga tidak keterlaluan kalau dikatakan ia balasan ‘bayar tunai’ kerana menjadi kerajaan dengan cara salah!

Oleh kerana naik dengan cara salah, semua yang dilakukan tidak betul dan mengarut belaka. Ikut logik, permulaan buruk akan memburuk hingga ke akhir.

Dari awal lagi, ramai menteri Kabinet Kerajaan PN yang telah terkenal. Walau bagaimanapun, mereka popular dengan keburukan, bukan kebaikan! Tiada langsung kebaikan untuk kemajuan negara, sebaliknya hanya menyerlahkan kejelikan, dan memalukan!

Tentu ramai masih ingat pada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dengan air suamnya; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin (salah seorang pengkhianat rakan-rakan dalam Kerajaan PH) tidak menyembur sanitizer di kawasan yang sepatutnya; dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang dari awal lagi mengingatkan sesiapa pun jangan menyebut PN sebagai kerajaan Melayu Islam.

Begitu juga pada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang menganjurkan pertandingan Tik Tok kepada umum untuk memanfaatkan daya kreatif, dan/sambil mengatasi stres akibat Perintah Kawalan Pergerakan 1.0.

Tik Tok bukan asing dalam masyarakat kita kini meskipun dampaknya lebih banyak negatif daripada positif. Justeru, cadangan pertandingan itu oleh menteri yang berkaitan dengan pelajar menara gading tentulah sangat mengejutkan.

Senator Tengku Datuk Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku Menteri Kewangan turut dikecam kerana lebih menjaga ahli bank daripada rakyat dalam isu moratorium, hingga ‘mendapat’ #bankerjagabanker (beliau mantan ahli dan pelabur).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah (juga pengkhianat) menaikkan kemarahan warganet apabila bercadang mengenakan lesen untuk Youtube, Tik Tok, instagram, dan sebagainya.

Datuk Seri Rina Mohd Harun (seorang lagi pengkhianat), Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat terus menjadi sasaran kecaman.

Selepas mencadangkan isteri-isteri meniru suara watak animasi terkenal Jepun, Doraemon untuk memikat hati suami, bulan lalu, Rina sekali lagi mencuri tumpuan apabila tampil kurus hingga ramai yang memberikan reaksi berbeza.

Namun begitu, beliau terus dikecam hebat kerana syuting memakai busana Eidulfitri di sekitar bangunan pejabat kementeriannya!

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, DatukSeri Mohamed Azmin Ali berubah 360 darjah sebagaimana pemimpin Pas dengan melakukan ‘Langkah Sheraton’ yang mengkhianati rakan-rakan dalam PH.

Pada 24 Mac lalu, Azmin membuat kenyataan yang diselar oleh PKR, apabila menafikan negara kehilangan pelaburan asing daripada perbadanan multinasional (MNC) kepada negara-negara jiran.

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung menyifatkan alasan Azmin bahawa Malaysia bersikap ‘lebih selektif’ dalam menarik pelaburan asing yang berkualiti sebagai mengarut.

Sedangkan, katanya, Singapura yang berpendapatan tinggi serta Vietnam dan Indonesia yang berpendapatan sederhana terus mendapat pelaburan kukuh.

Pada tahun 2019, tambah Lee, negara-negara tersebut menerima lebih 80 peratus aliran masuk pelaburan langsung asing ke Asia Tenggara.

Pada 2020 dengan cabaran kesihatan sedunia dan ekonomi, Singapura berjaya mencatat aliran masuk pelaburan langsung asing sebanyak AS$58 bilion, iaitu 23.2 kali ganda lebih banyak daripada Malaysia.

Lee mengambil contoh penutupan operasi beberapa MNC di Malaysia seperti IBM (31 Mei 2021), dan T-Systems (Nov 2020) yang menyebabkan ramai menganggur.

Aneh ketika Azmin bercakap mengenai pelaburan berkualiti, MNC yang berkualiti memilih untuk meninggalkan Malaysia.

Lebih malang, tambah Lee, Kerajaan PN masih belum memberi sebarang penjelasan mengenai sebab/alasan syarikat MNC meninggalkan Malaysia, dan mengumumkan cara penyelesaian untuk mengatasi masalah ini kepada orang ramai.

Memetik laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Lee berkata, pelaburan asing ke Malaysia menjunam 68 peratus kepada hanya AS$2.5 bilion pada 2020.

Akibatnya, Malaysia mencatat prestasi terburuk di rantau Asia Tenggara. Ingin ditanyakan apakah yang Azmin dan Tan Sri Muhyiddin Yassin buat?

Penafian Azmin dan Kerajaan PN tidak akan membantu kerajaan mengakui kelemahan struktur yang ada seperti yang Bank Dunia ketengahkan baru-baru ini, serta mengenal pasti peluang pertumbuhan baharu untuk membawa negara ke tahap berikutnya.

Pada 23 Mac lalu, Azmin menafikan dakwaan kehilangan pelaburan asing ke negara jiran, dengan alasan Malaysia sedang mengamalkan sikap selektif bagi menarik pelaburan berkualiti.

Kata Azmin lagi, dakwaan bahawa beberapa MNC besar lari atau mengelak untuk melabur di Malaysia bukan satu gambaran yang tepat.

Ini satu tragedi yang berterusan kerana beberapa syarikat permotoran besar luar negara yang telah beroperasi sekian lama, berpindah ke negara jiran. Rakyat tertanya-tanya apakah yang dilakukan oleh Azmin dan Muhyiddin?

Tentu semua masih ingat pada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga Timbalan Presiden Pas.

Selepas mendakwa punca pencemaran alam ialah durian musang king, Tuan Ibrahim menyatakan hudud tidak boleh dilaksanakan secara melulu, mencadangkan rakyat Kelantan menadah air hujan untuk mengatasi masalah bekalan air kotor, dan memberitahu masalah air di negeri Serambi Mekah itu akan selesai dalam masa 40 tahun lagi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (juga dari Pas), sangat kontroversi kerana mengingkari kuarantin wajib setelah pulang dari Turki, walaupun membayar denda RM1,000 dan mendermakan empat bulan gajinya sambil memohon maaf. Beliau juga tiada idea baharu kerana meniru cadangan Teresa Kok (mantan menteri berkaitan) mengenai penanaman buluh.

Ramai menganggap PRN Sabah pada 26 September 2020 sebagai punca peningkatan semula kes COVID-19 secara mendadak.

Sebabnya, Menteri Pertahanan/Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatakan mereka yang pulang dari Sabah tidak perlu kuarantin wajib 14 hari, sebaliknya cukup menjalani ujian swab sahaja.

Ismail bukan sahaja salah, malah mengenepi nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah agar semua yang pulang dari Sabah menjalani kuarantin wajib 14 hari. Hisham terpaksa mengubah nasihat beliau agar selaras.

Menteri-menteri PN yang pulang dari Sabah berkeliaran di Semenanjung, walaupun ada yang kemudiannya disahkan positif Covid-19, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Selain disifatkan sebagai belanjawan ‘jumlah imaginasi kreatif’ oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Belanjawan 2020 hangat dipertikai kerana Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), dan peruntukan RM85.4 juta kepadanya.
Setelah dikecam, JASA diubah menjadi J-Kom, iaitu nama bagi penjenamaan semulanya.

Walaupun JASA tidak wujud lagi, dan pengurangan peruntukan seperti yang PH mahu telah dipenuhi, tetapi perubahan itu tetap dibantah oleh Ahli Parlimen PH seperti Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-Amanah), Khalid Samad (Shah Alam-Amanah), Datuk Wira Mahfuz Omar (Pokok Sena-Amanah), dan Hannah Yeoh (Segambut-DAP).

Dato’ Sri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas-Umno), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau-Umno), dan Dato’ Sri Bung Moktar Radin (Kinabatangan-Umno) sebagai Ahli Parlimen PN sebaliknya bersungguh-sungguh mempertahan J-Kom, dan Saifuddin.

Ahli Parlimen Bintulu yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke China, Datuk Seri Tiong King Sing di Dewan Rakyat pada 11 November 2020 dikecam hebat kerana mendakwa Hisham ‘takut mati’ kerana tidak ke Sabah melakukan pengawasan penularan Covid-19 di sana.

Presiden Parti Demokratik Progresif itu mengatakan Hisham ‘takut mati’ kerana hanya bersidang media, dan membaca teks yang telah disediakan, padahal sebenarnya, Hisham telah ke Sabah membuat tinjauan, malah sekembali dari sana, beliau menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah kerana ada kontak rapat dengan Zulkifli.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama), Ahli Parlimen Parit Buntar dari Amanah yang paling kerap dikecam dan diganggu, terutama oleh para pemimpin Pas, dengan pelbagai isu yang dipanaskan, seolah-olah tidak menjalankan tugas.

Walau bagaimanapun, setelah Kerajaan PN berkuasa, semua isu yang dihebohkan berkaitan dengan Mujahid seperti LGBT, murtad, gelagat Nur Sajat di Mekah, Tabung Haji, dan kempen beli barangan Muslim lenyap. Isu kematian Muhammad Adib Mohd Kassim juga terus sepi.

Yang di-Pertuan Agong (YdPA) bertitah sidang Dewan Rakyat boleh diadakan semasa Darurat atas nasihat Perdana Menteri, Muhyiddin (mustahil Muhyiddin akan menasihati YdPA).

Namun begitu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan tiada sidang Parlimen selama Darurat berlangsung.

Takiyuddin menyanggah kenyataan YdPA, malah memberi alasan bodoh. Beliau memberi alasan sidang Parlimen tidak wajar kerana ramai ahli Parlimen dalam kalangan warga emas. Mereka berisiko tinggi dijangkiti virus Corona.

Walau bagaimanapun, mereka yang berusia 60 tahun ke atas itu boleh pula menghadiri acara sambutan setahun Kerajaan PN (Kerajaan Prihatin konon) beramai-ramai!

Takiyuddin mengatakan tiada masalah kerana Parlimen pernah ditutup selama dua tahun pada 1969. Ternyata beliau tidak melihat sebab Parlimen tidak bersidang ketika ini berbanding pada 1969, yang semua orang maklum.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pula dianggap kalis undang-undang prosedur operasi standard (SOP). Ahli Parlimen Ketereh itu terlepas daripada apa-apa tindakan meskipun dilaporkan telah tiga kali melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan!

Ini memang membangkitkan kemarahan ramai warganet dan rakyat.

Sebelum menjadi kerajaan pusat, Pas sentiasa mengkritik kerajaan yang memerintah, terutama ketika Kerajaan PH yang turut dianggotai pemimpin Amanah, dalam hal larangan arak dan judi, serta mahu memerangi/membanterasnya jika berkuasa nanti.

Umat Islam, terutamanya ahli dan penyokong Pas gembira dan lega dengan iltizam itu. Namun begitu, PAS berubah 360 darjah setelah menjadi kerajaan. Tiada penambahbaikan atau perubahan positif terhadap perkara-perkara yang dikritiknya.

Ternyata PAS didukungi para pemimpin yang prinsip perjuangan Islam mereka hanya palsu – ‘penunggang agama’ demi meraih sokongan untuk menjadi kerajaan.

Kenyataan Setiausaha Politik kepada Tuan Ibrahim, Mohd Zuhdi Marzuki mengenai isu lesen judi di negara kita amat mengelirukan.

Menurut Zuhdi, judi berlesen lebih mudah untuk diharamkan berbanding yang lain. Walau bagaimanapun, jelas beliau, ia hanya ‘disasarkan’ dapat dilakukan pada 2025.

Menteri Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin pula selalu membuat keputusan mengejut. Dalam mengatasi masalah sekolah terpaksa ditutup lama akibat Covid-19, Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM) menyarankan pelajar memiliki gajet untuk belajar di rumah menerusi kaedah pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).

Setelah ibu bapa yang kurang mampu bergolok bergadai membelikan gajet untuk anak mereka mengikuti PdPR, KKM tiba-tiba melancarkan Didik TV (sepatutnya TV Didik mengikut nahu bahasa Melayu) pula.

Ramai yang merasakan lebih mudah belajar menerusi televisyen. Namun begitu, setelah ramai yang semakin selesa dan gembira belajar dengan Didik TV (menerusi NTV7 dan TV Okey), KPM mengumumkan sekolah dibuka semula.

Tindakan KPM itu mendapat teguran sinis Najib yang mengatakan semasa kes harian beratus, sekolah ditutup, tetapi ketika kes harian beribu, sekolah dibuka pula.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar turut meminta kerajaan, khususnya KPM agar menghetikan amalan membuat keputusan mengejut atau pada saat akhir.

Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Edmund Santhara Kumar (pengkhianat) telah pulang dari New Zealand minggu lalu, dan sedang menjalani kuarantin kendiri wajib KKM di rumahnya. Perkara ini disahkan oleh Ahli Parlimen Segamat itu ketika dihubungi.

Santhara dikritik oleh pemimpin PH dan warganet selepas dibenarkan melawat keluarganya di New Zealand, walaupun negara melarang rakyat Malaysia ke luar negara.

Isu Santhara ini juga memperlihat betapa kerajaan pimpinan Muhyiddin tidak bijak dan lemah apabila melantik individu bermasalah sebagai anggota Kabinet!

Dilaporkan, Santhara memohon cuti selama 55 hari untuk melawat keluarganya, dan berada di sana sejak 23 Disember 2020 selepas mendapat kelulusan Muhyiddin pada 3 Disember 2020.

Santhara memberitahu beliau ke New Zealand untuk melawat anak-anaknya, khususnya seorang anak yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

Katanya, sudah tanggungjawab seorang bapa untuk bertemu dengan seorang lagi anaknya yang berusia sembilan tahun, setelah hampir setahun tidak berjumpa. Isterinya pula mengalami masalah kesihatan.

Kelakar, tetapi berasas apabila warganet mengatakan Santhara yang sepatutnya menjaga Wilayah Persekutuan, tetapi berada di New Zealand, sementara Datuk Seri Hadi Awang, Duta Khas ke Timur Tengah, berada di Malaysia (seolah-olah ‘makan gaji buta’)!

Mengenai dakwaan bahawa para menteri Kerajaan PN dibenci oleh rakyat Malaysia, ulasan Datuk A Kadir Jasin ini menarik.

Kadir menegaskan Presiden Amanah, Mohamad Sabu tidak bersendirian ketika kecewa dengan para menteri tersebut.

Sebabnya, kata tokoh wartawan negara itu, majoriti rakyat Malaysia memang membenci menteri-menteri Kerajaan PN.

Mantan Penasihat Media Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri ketujuh) itu yakin menteri-menteri tersebut tahu yang rakyat membenci mereka.

Tetapi, tambah Kadir, ada antara mereka yang memang tidak tahu malu, berpura-pura yakin untuk menutup rasa malu.

Mustahil, kata Kadir lagi, mereka tiada rasa malu melompat parti, dan mengkhianati mandat pilihan raya rakyat.

Kadir mengulas kenyataan Mohamad, 23 Mac lalu yang menyesali layanan ‘melepas batok di tangga’ oleh penguasa Parlimen ketika beliau dan rakan-rakannya Ahli Parlimen PH ke sana. Bagi Kadir, ia tidak memeranjatkan.

Kadir memberitahu Mohamad yang membangkitkan Malaysia dengan Australia bahawa Malaysia bukan Australia. Australia negara kafir. Malaysia di bawah pemerintahan Kerajaan PN negara Melayu-Islam.

Di negara Melayu-Islam ini, jelas Kadir, Ketua Pembangkang tidak bertaraf menteri seperti di Australia. Di Malaysia, Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri.

Menurut Mohamad, semasa beliau bersama-sama Anwar dan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng bertemu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar ‘Art’ Azizan Harun, layanan yang diterima ‘agak baik’.

Azhar berjanji secara lisan untuk membantu PH mengadakan pertemuan di Parlimen.

Namun begitu, pada 22 Mac lalu apabila Anwar mengetuai Ahli-ahli Parlimen PH untuk mengadakan pertemuan, mereka telah diperlaku dengan ‘tindakan yang agak menghina’.

Tiada seorang pun pegawai Parlimen hadir untuk menyambut Anwar dan rombongannya, malah dewan yang diberikan tidak dapat menampung jumlah ahli yang hadir.

Menurut Kadir, Mohamad perlu memahami siapa Art Harun yang bukan lagi Art Harun dahulu sebagai rakan seperjuangan. Beliau kini Yang Dipertua Dewan Rakyat lantikan Kerajaan PN.

Art Harun akan bermasalah jika dituduh membenarkan pembangkang menggunakan Parlimen seolah-olah Parlimen tidak digantung, apatah lagi untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan.
—————————————————————————————————————–
*RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.