Malaysia Dateline

Muhyiddin Abdul Hadi

PN bersama Pas pelopor khianat terhadap Raja-raja Melayu

Belum pernah dalam sejarah Malaysia merdeka melihat kebiadaban terbuka yang keterlaluan dan berterusan terhadap DYMM Tuanku Agong dan Raja Raja Melayu kita.

Ini bukan isu hendak mendewakan Raja-raja Melayu kita tetapi tentang menghormati sebuah “Institusi” Raja berpelembagaan kita yang menjadi payung kepada semua rakyat berbilang agama dan kaum.

Setelah pejabat Peguam Negara terang terang berpihak kepada Perdana Menteri dan Parlimen di kunci rapat oleh Perdana Menteri, hanyalah Tuanku Agong dan Raja-raja Melayu tempat rakyat memohon pembelaan dan keadilan dalam waktu krisis Covid 19, ekonomi dan krisis perlembagaan ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, Menteri Undang-undang, Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara tanpa segan silu penuh biadab membohongi tentang “perkenan” Agong terhadap Ordinan Darurat yang patut dibahaskan di Parlimen.

Pembohongan kepada Parlimen adalah suatu kesalahan yang amat serius di seluruh dunia.

Kini, selain dari terkenal sebagai negara kleptokrat di seluruh dunia, kini Malaysia terkenal pula dengan Perdana Menteri yang membohongi Raja dan Parlimen negara.

Apabila Istana Negara memperbetulkan fakta bahawa tiada perkenan telah diberi, Mahiaddin dengan kasar dan biadab memperlekehkan kenyataan Tuanku Agong.

Apabila Istana Negara memberi perincian butiran fakta, Timbalan Presiden Pas secepat kilat menyatakan pendirian Pas berdiri teguh bersama Mahiaddin dan juga Menteri Undang undang yang juga Setiausaha Agung Pas.

Selepas 2 hari barulah disusuli dengan sokongan MCA, MIC serta parti komponen lain yang menyokong Mahiaddin berhadapan dengan Agong.

Tidak cukup dengan itu, Presiden MIC Vigeswaran dengan kurang ajarnya meremehkan titah Tuanku Agong serta Majlis Raja-raja yang mahu perbahasan ordinan tersebut di adakan di Parlimen.

Apa yang kita sedih dan perlu sedar adalah kerajaan Perikatan Nasional, yang sepatutnya menjadi pembela Melayu Islam lah, bertindak merempuh institusi penting bagi Melayu Islam, iaitu Raja-raja Melayu demi kerakusan mengejar kuasa semata-mata.

Takiyuddin Hassan selaku Menteri Undang-undang dari Pas melambaikan buku peraturan Parlimen yang mengandungi peraturan peninggalan penjajah British semasa di Parlimen untuk cuba justifikasi tindakannya.

Pada masa yang sama Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang sebelum ini mengutuk keras peninggalan penjajah bukan Islam dan menuntut semuanya mengikut al Quran, RUU 355 dan hudud.

Namun, dengan penuh hipokrasi, demi nafsu untuk kuasa, bukan al Quran, RUU 355 atau hududlah yang di junjungnya di Parlimen sekarang oleh Pas setelah di dalam kerajaan, sebaliknya buku peninggalan penjajah British dipertahan dan digunakan untuk kepentingan diri. Inilah wajah Pas sebenar hari ini.

Mahiaddin dari parti Melayu Bersatu dan Perikatan Nasional yang ternyata mendahului pertembungan dengan Raja-raja Melayu demi kuasa sehingga sanggup lupa perpaduan gagasan Melayu yang sebelum ini di gembar gemburkan untuk memancing undi.

Untuk Pas pula, saranan Presidennya selama ini untuk taat pada Ulul Amri, Raja-raja Melayu demi Islam dan Melayu telah dicampak entah ke mana asalkan boleh kekal berkuasa.

Paling menjengkelkan adalah Pas lebih awal mendahului MIC dan MCA menunjuk contoh untuk derhaka biadap terhadap Raja-raja Melayu kita.

Presiden MIC sanggup biadab mengajar Raja-raja kita bahawa saranan perbahasan ordinan hanya membuang masa di Parlimen apabila Pas menjadi Tok Guru derhaka pada MIC dan MCA.

Ramalan Pas sebelum ini bahawa orang bukan Melayu dan bukan Islam akan mencabar Melayu Islam menjadi kenyataan apabila Pas merintis jalan untuk mereka contohi.

Di sebalik tuduhan Pas dahulu wujudnya musuh Melayu Islam, ironinya demi kuasa, rupa-rupanya Parti Melayu Bersatu dan Parti Islam Pas dalam Perikatan Nasional, bersama MIC serta MCA ditakdirkan memimpin gerakan mencabar kedaulatan Instutuisi Raja-raja Melayu kita.

Perpatah Melayu berbunyi, “Mengata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih”!

Realiti hari ini, parti Melayu dan Islam dalam PN sendirilah yang memimpin mencabar kedudukan Melayu dan cuba mengugat kedudukan ketua Agama Islam iaitu Raja-raja Melayu.