Malaysia Dateline

PN bukan kerajaan perpaduan Melayu-Islam tetapi perpaduan pengkhianat

Keputusan Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) membuktikan bahawa Perikatan Nasional (PN) bukanlah kerajaan perpaduan Melayu-Islam, tetapi perpaduan pengkhianat.

Setiausaha Pemuda AMANAH Nasional, Khairol Najib Hashim berkata, hal ini terbukti apabila Umno sendiri sudah mula sedar bahawa pengkhianat akan terus belot terhadap rakan demi nyawa politik mereka.

“Sebab itu alasan kestabilan yang mereka laungkan semasa menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) oleh sebilangan besar pengkhianat dalam PN tidak mungkin akan tercapai kerana niat awalnya sendiri sudah tidak betul.

“Pemuda AMANAH menyeru agar rakyat menilai secara objektif terhadap apa yang telah berlaku dan menghukum para pengkhianat ini dalam pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Khairol Najib berkata, kerajaan yang berselindung dengan pelbagai helah politik dan bersikap oportunis perlu dihukum melalui peti undi.

Tegasnya, kumpulan ini bukan sahaja hilang kompas dalam menggubal dasar yang baik untuk negara, malah mereka sibuk menyusun langkah politik untuk kepentingan diri masing-masing.

“Mangsanya adalah rakyat jelata yang hilang pekerjaan dan terus dihimpit masalah pengangguran.

“Justeru, Pemuda AMANAH menyarankan agar hentikan permainan politik dengan menunggang nama perpaduan Melayu-Islam kerana hakikatnya ia adalah perpaduan pengkhianat,” tegasnya lagi.