Malaysia Dateline

PN cukup-cukuplah berpolitik, belajar jadi pembangkang yang membina

Hampir sebulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tamat seharusnya peranan pembangkang PN adalah menentukan pembinaan semula negara berjalan dengan lancar sebagai pengawas kepada kerajaan memerintah, bukannya terus berpolitik adu domba.

Menurut Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj, pihak pembangkang wajar berhenti seketika berpolitik sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan menangani pelbagai masalah melanda rakyat.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan kewibawaan PN sebagai gabungan yang pernah mentadbir kerajaan sebelum ini, sepatutnya PN mampu menjadi pembangkang yang berkesan demi memastikan dasar yang penting dilaksanakan dengan baik

“Sepatutnya mereka (PN) menjadi pembangkang yang lebih efektif dengan memberi nilai tambah, dan mereka juga perlu memberikan idea-idea yang lebih baik. Itulah yang sepatutnya dimainkan oleh pembangkang.

“Apa yang saya nampak sekarang, PN lebih kepada berpolitik dan tidak membincangkan soal dasar,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Katanya lagi, kritikan pembangkang terhadap penyelesaian isu-isu rakyat yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Perpaduan sekarang ini cukup membuktikan bahawa PN tidak prihatin dan peka dengan keperluan rakyat.

Antara Menteri yang kini mendapat perhatian rakyat ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke apabila banyak peralatan kemudahan awam di stesen-stesen LRT dan MRT telah dibaiki dalam tempoh seminggu beliau mentadbir sistem pengangkutan di Malaysia.

Sementara itu, Yuneswaran berkata sekarang tibalah masanya untuk Kerajaan Perpaduan bekerja dan berbakti kepada rakyat meskipun sebelum ini PN turut berpeluang memerintah tetapi tiada penyelesaian dilakukan oleh mereka.

“Kalau tiada perkara hendak kritik atau semata-mata hendak politikkan segalanya. Nanti tidak nampaklah pengurusan atau pentadbiran yang telah dilakukan oleh kerajaan,” katanya lagi.

Baca juga Harap lebih sensitif, elak siar gambar mangsa tanah runtuh terutamanya kanak-kanak – Fahmi