Malaysia Dateline

PN derhaka jika gagal panggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari, kata Umno

Kegagalan kerajaan PN dalam melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Pemerintah.

Presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno berpendirian tegas untuk mendesak Kerajaan menghormati titah YDPA Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan ini.

“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Katanya, Umno berpendirian Parlimen amat mustahak untuk diadakan bagi segera membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani Pandemik Covid-19 di samping memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media perihal Sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah,” kata beliau.