Malaysia Dateline

PN derhaka terhadap Agong, percubaan jahat mandulkan fungsi Parlimen

Sekretariat Senator Pakatan Harapan (PH) Plus menyifatkan Yang di-Pertuan Agong telah murka susulan kenyataan pihak kerajaan berhubung pembatalan semua Ordinan Darurat yang belum lagi mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Ketuanya, Senator Raj Munni Sabu berkata, sejak awal, pihaknya berpendirian kuasa pembatalan tersebut merupakan kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (2B) dan Perkara 150 (3).

Justeru, tegasnya, penderhakaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutama Speaker Dewan Rakyat bermula sejak hari pertama Sidang Khas Dewan Rakyat.

Jelasnya, tindakan yang ‘menghalang’ daripada berlakunya proses usul, perbahasan dan pengundian terhadap Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat itu merupakan satu percubaan jahat memandulkan fungsi Parlimen.

“Tindakan ini juga secara tidak langsung merupakan satu percubaan memudaratkan demokrasi berparlimen di Malaysia dan merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 124B, Kanun Keseksaan.

“Ia juga sekaligus satu bentuk kesalahan terhadap kuasa-kuasa KDYMM Tuanku YDPA sepertimana dalam Seksyen 121B Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam beberapa kenyataan terdahulu, termasuklah kenyataan hari ini jelas konsisten menggesa agar Parlimen kembali berfungsi sebagai mekanisme dan platform semak imbang tata kelola serta perjalanan pentadbiran kerajaan.

“Meneliti keseluruhan kenyataan media Istana Negara itu, kami merumuskan bahawa kerajaan secara kolektif telah gagal mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap segala yang telah dititahkan oleh Tuanku YDPA.

“Kegagalan ini adalah satu penderhakaan dan penghinaan lengkap terhadap sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang telah diamalkan oleh Malaysia sejak sekian lama,” tegasnya.

Kenyataan bersama Sekretariat Senator PH Plus turut disertai Senator Datuk Theodore Doughlas dan Senator Ismail Yusop masing-masing merangkap Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara.

Turut bersama 13 Ahli Dewan Negara iaitu Dr Yaakob Sapari, Datuk Donald Peter Mojuntin, Datuk Husam Musa, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, Manolan Mohamad, Laksamana (B) Mohd Imran Abdul Hamid, Dr Ahmad Azam Hamzah, Lim Hui Ying, Nga Hock Cheh, Alan Ling Sie Kiong, Andrian Banie Lasimbang, Kesavadas Achyuthan Nair dan Suresh Singh.