Malaysia Dateline

PN didakwa plagiat cadangan Mahathir pulih negara

Baru sahaja semalam Tun Dr Mahathir Mohamad menyebut tentang cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini pula menyebut hal sama.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kerajaan sedang merangka Pelan Pemulihan Negara sebagai persiapan untuk negara keluar daripada Covid-19 pada satu peringkat yang munasabah.

Kata Ahli Parlimen Pagoh itu, sudah tiba masa negara menetapkan satu ‘exit strategy’ atau pelan pemulihan negara untuk keluar dari masalah pandemik itu.

Jelasnya, pelan tersebut dibuat berdasarkan kepada data, sains dan segala persiapan yang telah dilakukan termasuk dari segi pengurusan pandemik, ekonomi, program vaksinasi dan sebagainya.

Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan, pelan itu akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh seminggu akan datang.

Pelan Pemulihan Negara oleh kerajaan PN itu dilihat menciplak idea Mahathir. Semalam, bekas Perdana Menteri itu menegaskan MPN yang menggantikan Majlis Gerakan Nasional (Mageran) yang ditubuhkan pada 1969 berperanan untuk mengurangkan peningkatan kes baharu Covid-19 sehingga mencapai imuniti kelompok (herd immunity) di negara ini.

Pengasas dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, MPN hanya menyentuh empat perkara termasuk masalah kemerosotan ekonomi, kewangan, politik serta masalah persekolahan.

Jelasnya, kerajaan boleh menangani urusan-urusan lain selagi mana tidak menyentuh keempat-empat hal tersebut.

Mahathir berkata, ahli-ahli MPN akan terdiri daripada pakar perubatan termasuk ahli psikiatri, pakar ekonomi yang tidak partisan dan berpengalaman di dalam membantu negara mengatasi krisis dan pakar pelaburan berpengalaman.

Selain itu, ujarnya, turut terlibat adalah penggerak sosial yang terbukti keupayaan membantu rakyat ketika pandemik, tokoh-tokoh perundangan yang tidak partisan dan beberapa tokoh politik yang tidak bertindak mewakili parti.