Malaysia Dateline

PN enggan bubar Parlimen, Ahmad Jazlan letak jawatan Pengerusi MPOB

Selepas menegaskan untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakob hari ini benar-benar bertindak sedemikian.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali petang tadi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Umno yang dilantik sebagai pengerusi kepada syarikat badan berkanun itu dilapor akan meletak jawatan sebagai Pengerusi MPOB jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu dipetik sebagai berkata, memberi tempoh sehingga akhir bulan ini bagi kerajaan PN membubarkan Parlimen selain menzahirkan pendirian tidak bersedia bekerjasama dengan kerajaan.

“Penghargaan setinggi terima kasih saya ucapkan kepada Menteri atas kepercayaan yang diberikan sepanjang saya berkhidmat sebagai Pengerusi MPOB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peletakan jawatan itu menguatkan lagi tanggapan bahawa wujud keretakan serius melibatkan hubungan kerjasama politik antara Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta PN.

Dalam masa sama, Ahmad Jazlan menghargai segala kerjasama yang diberi oleh Ahli Lembaga, pengurusan dan seluruh warga MPOB sepanjang perkhidmatannya bersama agensi berkenaan.

“Saya doakan MPOB terus maju dan berdaya saing dengan membantu rakyat yang terbabit dengan komoditi sawit termasuk pemegang taruhnya,” katanya tanpa menjelaskan sebab peletakan jawatan itu.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi MPOB pada April lepas bagi menggantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang berkhidmat sehingga 31 Mac 2020.