Malaysia Dateline

PN gagal berdaftar, calon tak layak bertanding

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa sehingga ke saat ini parti Perikatan Nasional (PN) masih belum berdaftar di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Beliau berkata, kegagalan ini bermakna semua calon yang bertanding pada Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah di atas bendera PN haruslah dibatalkan.

“Setakat jam 2.22am, 14 September 2020, tiada rekod berkaitan berjaya dipaparkan.

“Semakan seterusnya keatas nama ‘Perikatan Nasional’ atau ‘Prikatan Nasional’ turut tidak menemui sebarang rekod daftar.

“Justeru itu saya menggesa ROS untuk memberikan pencerahan apakah status pendaftaran Parti Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Pada 10 Ogos lalu, permohonan untuk mendaftarkan PN sebagai sebuah gabungan parti, dilaporkan sudah dihantar kepada ROS.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Abdul Rashid Asari, berkata keputusan mengenai pendaftaran secara rasmi gabungan itu akan diketahui dalam masa terdekat.

Sementara itu Syed Badli menegaskan melalui semakan laman sesawang ROS berkaitan status pendaftaran parti yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu didapati tiada rekod ditemui.