Malaysia Dateline

PN gagal kekang Covid-19, kes jangkitan terus melonjak walau darurat dilaksana

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbukti gagal mengawal penularan Covid-19 yang sehingga semalam menyaksikan pertambahan lagi 3,807 kes baharu pandemik tersebut.

Beberapa keputusan kerajaan PN diterajui Mahiaddin Yassin dilihat tidak berjaya melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 sehingga menjerumuskan negara kepada gelombang ketiga yang kini tidak berkesudahan.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September tahun lalu terbukti menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 seperti diakui Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bahkan, awal tahun ini sahaja lebih 30 ahli politik termasuk di Semenanjung dijangkiti Covid-19 ekoran keputusan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang beberapa kali menyatakan tidak perlu kuarantin untuk mereka yang pulang dari Sabah.

Paling awal, menteri Umno itu berkata demikian pada 12 September 2020 walaupun kes Covid-19 di Tawau dan Lahad Datu mencatatkan angka membimbangkan dengan 49 kes baharu Sabah dilapor ketika itu manakala Kedah hanya lima kes serta Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing dua kes baharu.

Selanjutnya, sejak pengumuman darurat pada 11 Januari lalu, kes baharu Covid-19 terus naik melonjak dengan sebanyak 444,484 kes telah direkodkan setakat semalam.

Walaupun pengisytiharan darurat sehingga 21 Ogos itu dikatakan sebagai pendekatan mengatasi masalah penularan Covid-19 yang cepat, tegas dan menyeluruh tetapi hal sebaliknya dilihat berlaku.

Petugas barisan hadapan semakin sibuk di lapangan selama 24 jam seminggu dengan enam hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) dikhususkan untuk pesakit Covid-19 sudah melebihi tahap ambang amaran setakat awal bulan ini.

Malah, terdapat antara hospital tersebut sudah menghampiri kadar kapasiti penggunaan katil 100 peratus manakala sebanyak 80 katil rawatan kritikal diwujudkan secara ‘repurposed’ di hospital sekitar Lembah Klang bagi memenuhi keperluan peningkatan jumlah pesakit Covid-19 yang kritikal.

LANJUT MENYUSUL