Malaysia Dateline

PN gagal lonjakkan ekonomi negara

Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin terbukti pincang dan gagal untuk melonjakkan ekonomi negara dan sepatutnya beliau segera melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Menurut Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil dari segi tadbir urus ekonomi, pentadbiran kerajaan PN turut gagal memuaskan jangkaan rakyat serta pelabur.

Lebih memalukan kata beliau, apabila Menteri Kewangan dan kerajaan dikritik secara terbuka oleh pemain industri mengenai kelemahan negara untuk menarik pelaburan asing.

“Negara masih bergelut dengan kadar pengangguran yang tinggi apabila sehingga Oktober 2020 menunjukkan 748,200 individu yang juga merupakan anak muda terus menganggur berbanding hanya 512,100 penganggur setahun yang lalu.

” Amat mengecewakan apabila banyak syarikat besar sedang lari meninggalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terutamanya ke Indonesia melibatkan pelaburan Hyundai sebanyak RM4. 02 bilion dan Toyota sebanyak RM8. 04 bilion serta kilang bateri China CATL sebanyak RM20. 09 bilion.

“Ianya amat membimbangkan kerana terus menyukarkan proses penciptaan pekerjaan baharu ketika rakyat khususnya golongan muda amat memerlukan peluang pekerjaan,” ujar beliau.

Faiz yang juga merupakan Adun Permatang Pasir juga berkata, kini negara bukan setakat terkebelakang dari aspek menarik pelabur asing, tetapi jua pembelian vaksin Covid-19 apabila proses vaksinasi untuk majoriti rakyat hanya akan bermula pada suku ke tiga 2021 ataupun lebih lama.

Tambahnya apabila lebih lama proses vaksinasi dilanjutkan maka semakin lamalah masa yang diambil untuk mencapai pemulihan ekonomi.

Lebih teruk lagi tegas beliau apakala moratorium pinjaman tidak dilanjutkan dan kuasa beli rakyat pula akan terus dihimpit sentimen yang lemah sehingga mampu menyebabkan lebih ramai hidup susah dan mengancam sosio-ekonomi rakyat negara ini.

Kata Faiz, kerajaan PN begitu ketara gagal apabila tiada perancangan konkrit dibentangkan bagi merangsang ekonomi dan tiada jalan keluar direncanakan bagi menyelesaikan masalah ekonomi rakyat.

“Sekadar mengumumkan pakej bantuan tunai bukanlah penyelesaian berkesan umpama semangkuk cendol yang boleh ditambah apa sahaja bahan mengikut selera dimana ia memenuhi selera, tetapi tidak mengenyangkan.

“Juga menjadi persoalan apakah langkah kerajaan PN untuk menggalakkan syarikat-syarikat menaikkan gaji pekerja pada tahun ini dan apakah perancangan untuk menarik pelaburan syarikat asing serta memulihkan persepsi terhadap negara yang terjejas sejak skandal 1MDB lagi.

“Apakah cara bagi merangsang rakyat untuk berbelanja yang seterusnya mengukuhkan permintaan tempatan walaupun pengumuman pakej bantuan PERMAI diumumkan yang dapat diibaratkan sebagai pelan kitar semula idea- idea lama untuk mempertontonkan seolah-olah kerajaan prihatin tetapi adalah sebaliknya, ” cambah beliau.

Justeru itu kata Faiz, tidak menghairankan apabila Malaysia terus jatuh ke belakang sehingga menjadikan rakyat sebagai mangsa dan ekonomi negara hanya boleh dipulihkan semula sekiranya negara mempunyai kepimpinan baru yang jitu serta ikhlas untuk memastikan kestabilan politik terjamin.