Malaysia Dateline

PN gagal penuhi agenda anak muda, hanya fikir survival politik

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya memikirkan soal kelangsungan politik mereka sehingga gagal memenuhi keperluan golongan muda.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pelbagai inisiatif dan bantuan dijanjikan oleh kerajaan ‘tebuk atap’ kepada rakyat termasuk anak muda tetapi janji hanya tinggal janji.

“Walaupun Wan Ahmad Fayhsal (Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda) itu rakan saya tetapi maaf cakap, kerajaan PN gagal untuk memenuhi agenda anak muda.

“Apabila rakyat sedang susah, kerajaan tidak boleh berjanji perkara yang menjadi harapan semua orang.

“Contohnya, janji untuk beri 150,000 komputer riba bagi memastikan anak-anak dari keluarga B40 dapat meneruskan pelajaran secara dalam talian dari rumah.

“Dua kali Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) berjanji akan beri laptop kepada B40 tapi akhirnya laptop yang dijanjikan tidak muncul,” tegasnya ketika ditemubual Malaysia Dateline.

Januari lalu, Tengku Zafrul berkata, pemberian 150,000 komputer riba oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dipercepatkan bermula bulan Februari.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bekerjasama rapat dengan Yayasan Hasanah untuk mempercepatkan penyampaian kesemua komputer riba oleh GLC dan GLIC itu.

Mengulas lanjut, Shazni yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional turut mempersoalkan ke mana perginya hasil penambahan subsidi pembelian telefon pintar atau peranti baharu daripada RM180 dalam Belanjawan 2021 kepada RM300 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

“Dalam pengumuman Pemerkasa yang lepas, Muhyiddin berjanji sekali lagi untuk memberi sejumlah wang untuk beli gajet tapi sampai sekarang tiada.

“Orang tengah susah, kerajaan janji macam-macam tapi tidak buat. Memang rakyat marah. Sebab itu ada #PNipu merujuk kepada sikap kerajaan yang menipu rakyat.

“Rakyat memang marah sebab kerajaan janji macam-macam ketika orang ramai sedang susah tapi perkara yang dijanjikan tidak buat,” ujarnya lagi.