Malaysia Dateline

PN goyang tidak tahu guna lambang apa, kata Umno

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil menganggap Perikatan Nasional (PN) sedang goyang dan tidak pasti untuk menggunakan lambang apa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November ini.

Isham yang juga bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak, merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada semalam bahawa gabungan itu belum memutuskan logo yang akan digunakan mereka.

Isham menyifatkan, jika PN menggunakan logo Pas, besar kemungkinan orang bukan Melayu tidak akan mengundi mereka.

“Azmin kata PN belum buat keputusan untuk pakai lambang apa dalam PRN Melaka kali ini. Mereka sudah goyang dan tidak pasti untuk pakai lambang apa

“Jika mereka guna lambang Perikatan Nasional pula, mereka akan hilang undi Melayu Pas.

“Dalam kedua-dua kes, mereka (PPBM) tahu sukar untuk mereka menang apa-apa kerusi. Tambahan lagi dengan rekod buruk mereka mentadbir kerajaan selama 39 bulan sebelum ini (22 bulan dalam PH dan 17 bulan dalam PN),” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Menurut Isham, PN kini hanya ingin memecahkan undi Melayu supaya Barisan Nasional kalah dalam PRN kali ini.

Dan sekali lagi katanya, PN akan membantu PH untuk menang dengan pecahkan undi Melayu seperti yang mereka lakukan semasa PRU-14 yang lalu.

“Inilah dia perangai Parti Pemecah Belah Melayu (PPBM),” selarnya