Malaysia Dateline

PN hilang integriti, Malaysia perlu kerajaan perpaduan

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) meneliti kenyataan media dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri sebagai respons kepada kenyataan media Istana Negara pada 29 Julai 2021.

Kami memandang serius Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, sepertimana menerusi kenyataan media dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara yang jelas menzahirkan dukacita KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah atas kenyataan yang dibuat oleh pihak kerajaan semasa Sidang Khas Dewan Rakyat melalui YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 26 Julai 2021 yang jelas telah mengelirukan Ahli-ahli Parlimen.

Penjelasan YB Menteri kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimahsyurkan oleh KDYMM Tuanku sepanjang tempoh darurat, adalah bercanggah dengan Titah KDYMM Tuanku dan pembatalan tersebut belum lagi mendapat perkenan KDYMM Tuanku sebagaimana termaktub dalam Perkara 150 (2B) dan Perkara 150 (3), yang memperuntukkan kuasa pembatalan tersebut kepada KDYMM Tuanku.

Kami berpendirian bahawa kenyataan media Pejabat Perdana Menteri adalah sekadar cubaan memanipulasi penafsiran Perlembagaan Persekutuan secara harfiah dan berselindung di sebalik alasan teknikal bagi menidakkan tuntutan jelas daripada Titah KDYMM Tuanku agar semua Ordinan dibentang dan dibahaskan di Parlimen untuk diungkaikan atau annulled.

Malah kenyataan media Pejabat Perdana Menteri tersebut jelas menyerlahkan realiti jelik, keangkuhan dan kerakusan kuasa kerajaan PN memperalatkan Pengisytiharan Darurat demi survival politik sehingga sanggup mempertahankan tindakan derhaka mereka terhadap Institusi Diraja dengan membelakangi fungsi YDPA, sekaligus merobek prinsip-prinsip Rukunegara.

Kami membantah keras tindakan mengundang kemurkaan Tuanku yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan khususnya Speaker Dewan Rakyat bermula daripada hari pertama Sidang Khas Dewan Rakyat, dengan cara berdolakdalik menghalang daripada berlakunya proses Usul, Perbahasan dan Pengundian terhadap Pengisytiharan Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat sebagaimana yang dititahkan KDYMM Tuanku. Keseluruhan tindakan ini adalah satu pencabulan ke atas Demokrasi Berparlimen dan pelanggaran Prinsip-prinsip Rukunegara.

Walau apa pun alasan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri dan kerajaan PN dalam polemik pembatalan Pengisytiharan Darurat tanpa perkenan Yang Dipertuan Agong ini, hakikatnya suatu tindakan khianat dan derhaka terhadap Institusi Diraja telahpun dengan sempurnanya berlaku. Ia jelas suatu yang mengaibkan sehingga terzahir daripada kenyataan Istana Negara dukacita baginda yang amat. Keseluruhan institusi demokrasi negara telah turut terpalit dalam titik hitam pengkhianatan dan pencabulan demokrasi dan keluhuran perlembagaan ini.

Mengambil isyarat Titah KDYMM Tuanku termasuk segala isi yang terkandung di dalam warqah baginda kepada Perdana Menteri dan Kabinet bertarikh 29 Julai 2021, serta keperluan kritikal menghindari negara daripada  terheret ke dalam kebuntuan Perlembagaan atau constitutional impasse angkara permainan politik jelik Perikatan Nasional, kami menggesa agar :

i. Perdana Menteri dan seluruh anggota Kabinet PN meletakkan jawatan serta-merta sebagai tanggungjawab kolektif terhadap tindakan Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, sebagaimana peruntukan dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, atas tindakan penghinaan kepada Keluhuran Perlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, selain kegagalan mematuhi Titah YDPA darihal pembatalan Pengisytiharan Darurat serta Ordinan-Ordinan berkaitan;

ii. Kegagalan Perdana Menteri dan Kabinet untuk segera berbuat demikian, wajar disusuli dengan Usul Hilang Kepercayaan terhadap Perdana Menteri, sepertimana diusulkan YB Ketua Pembangkang pada 29 Julai 2021, wajib dibentangkan dan diundi dalam Dewan Rakyat yang akan menyambung sidang pada Isnin, 2 Ogos 2021 agar Perdana Menteri dimakzulkan daripada jawatan menurut Perlembagaan Persekutuan;

iii. Ketua Pembangkang, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera berbincang dengan semua Ahli Parlimen Pembangkang bersama Ahli-ahli Parlimen yang waras untuk sama-sama bertindak menghentikan pentadbiran gagalis dan khianat ini. Sebuah Konsensus Nasional Selamatkan Malaysia perlu segera dibincang dan dimeterai, bermula dengan mengembalikan semula mandat rakyat dalam PRU14 yang lepas kepada Pakatan Harapan dan seterusnya kepimpinan Pakatan Harapan disaran berjiwa besar dengan usaha membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan yang melibatkan semua pihak dan kepimpinan terbaik. Sekaligus membentuk satu pasukan pentadbiran yang amat kritikal dan diperlukan oleh Malaysia sekarang.

iv. Peguam Negara samada meletakkan jawatan segera atau dilucutkan jawatan serta-merta kerana selain gagal memberi nasihat yang betul kepada Kerajaan, Peguam Negara juga telah mengingkari Titah YDPA, sekaligus
memberi petunjuk bahawa telah berlaku pengkhianatan kepada amanah jawatannya dalam menjunjung Keluhuran Perlembagaan;

v. Speaker Dewan Rakyat juga digesa meletakkan jawatan serta-merta kerana telah bersekongkol membenarkan tindakan Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengelirukan Dewan Rakyat serta menggagalkan proses
Demokrasi Berparlimen daripada berjalan sewajarnya;

vi. PDRM wajar memulakan siasatan segera dan terperinci “without fear or favour” ke atas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan semua individu terlibat dalam tindakan penderhakaan yang jelas merupakan satu percubaan memudaratkan Demokrasi Berparlimen di Malaysia dan merupakan satu kesalahan jenayah mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan, dan juga jenayah yang boleh diambil tindakan di bawah seksyen 121B Kanun
Keseksaan, dan kesalahan yang dilakukan khususnya oleh mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong.

Tindakan terbaharu PN yang membelakangi Perlembagaan ini sememangnya mengabsahkan pendirian kami bahawa pengisytiharan darurat sejak awal tidak lain hanyalah bertujuan mengekalkan survival politik PN dan Perdana Menteri yang telah kehilangan majoriti, kredibiliti dan legitimasi; suatu pengisytiharan yang tidak berlandaskan sains dan data, malah hakikatnya, pengisytiharan darurat ini bukan sahaja tidak memberikan sebarang kelebihan atau manfaat dalam respons negara menangani pandemik Covid-19, bahkan sebaliknya telah menjadi asbab krisis semakin parah akibat pemusatan kuasa-kuasa mutlak kepada kerajaan gagal lagi
lemah dan tidak mendapat mandat rakyat.

Kami juga menyokong penuh kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang menggesa Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan seluruh anggota kabinetnya agar meletak jawatan serta merta, bagi mencegah daripada Institusi Diraja dan Keluhuran Perlembagaan terus dikhianati. Amat perlu diberikan ruang Demokrasi Berparlimen kembali mengambil tempat secara tertib, teratur dan tuntas, manakala mandat rakyat harus dimartabat dan dihormati.