Malaysia Dateline

PN jangan berdolak dalih lagi panggil Parlimen

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak berdolak-dalih lagi untuk memanggil sidang Parlimen seperti titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Beliau berkata, keputusan Yang di-Pertuan Agong dengan semangat Syura Majlis Raja-Raja itu jelas mengisyaratkan kelemahan kerajaan PN yang tidak peka kepada tuntutan rakyat selama ini sehingga memerlukan campurtangan Raja-raja untuk bertindak menitahkan Parlimen dan Dun dibuka.

Mujahid juga mengingatkan agar wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) fokus kepada membina Konsensus seperti diharapkan dan perlu menjalankan semak imbang sebaiknya demi matlamat selamatkan nyawa dan meneruskan kehidupan rakyat Malaysia.

“Junjung Kasih Tuanku atas perlaksanaan Syura dalam kalangan para Sultan yang menjadi tempat mengadu penderitaan rakyat seluruh negeri.

“Kini terpulang kepada kita semua untuk bertindak dan melaksanakan keputusan Syura Raja-raja Melayu.

“Proklamasi pada 11 Januari 2021 berakhir 1 Ogos sama sekali tidak menghalang Parlimen dipanggil bersidang dalam tempoh tersebut.

“Perkara ini pernah dibangkitkan sebelumnya oleh YDPA tetapi gagal dilaksanakan oleh PM dan kerajaannya,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Sementara itu Mujahid berkata, konsensus dari Raja-raja Melayu perlu dijadikan cabaran kepada semua pihak dalam menjayakan program vaksin lebih berkesan agar dapat mencapai 80 peratus imuniti berkelompok.

Selain itu, ketegangan politik perlu diredakan dengan sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan majoriti rakyat.

“Lebih utama ialah penamatan tempoh darurat pada Ogos tanpa perlu dilanjutkan,” katanya lagi.