Malaysia Dateline

PN juga boleh jatuh kerana khianat, tegur Nik Omar

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz, mengakui wujud beberapa kelemahan Pakatan Harapan (PH) sepanjang hampir dua tahun pentadbirannya yang sering mengundang persepsi kurang baik kepada PH.

Namun katanya, itu sama sekali tidak boleh menjadikan alasan untuk mana-mana individu cuba melakukan perubahan secara tidak demokrasi apatah lagi melalui pintu belakang yang dianggap sebagai tidak bermoral.

Bahkan katanya, apa yang berlaku hari ini seolah-olah memberi lampu hijau kepada individu atau parti lain untuk menggulingkan kerajaan dengan cara yang sama.

“Ini kita sebut sebagai satu pengkhianatan dan akan dikenang oleh rakyat.

“Bahkan negatifnya, apa yang berlaku memperlihatkan adanya parti-parti yang bergabung telah menjatuhkan kerajaan yang mendapat mandat rakyat.

“Kamu seolah-olah mengajar dan membenarkan cara itu dilakukan. Jadi terima lah, parti atau individu lain juga boleh menjatuhkan kerajaan dengan cara yang sama iaitu khianat,” katanya dalam temubual bersama Malaysia Dateline baru-baru ini.

Beliau turut mengingatkan tentang episod kejatuhan Pakatan Rakyat di Perak pada tahun 2009 selepas dua Adun PKR dan DAP mengisytiharkan keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Nik Omar berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pengkhianatan yang dilakukan waktu itu akan berulang lebih-lebih lagi dengan tindakan penubuhan Perikatan Nasional (PN) yang merampas demokrasi rakyat.

“(Sekiranya ada lagi pengkhianatan), kerajaan sekarang ini tak boleh halang. Sebab dia yang mulakan.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang ini benda yang sama dilakukan oleh kerajaan Umno terdahulu. Ertinya kamu mengajar rakyat dan pemimpin politik buat benda sama,” jelas Yang Dipertua Yadim itu.