Malaysia Dateline

PN laksana hukuman Covid-19 secara pilih kasih, dakwa Senator

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) disifatkan cuba melaksanakan hukuman secara pilih kasih kepada mereka yang melanggar arahan kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengerusi AMANAH Terengganu, Senator Datuk Raja Bahrin Shah berkata, ini dapat dibuktikan apabila para Menteri di dalam Kabinet Muhyiddin masih tidak diambil tindakan tegas selepas melanggar arahan tersebut, sementara rakyat biasa terus ditangkap dan disaman.

Walhal, kata AJK AMANAH Nasional itu, sikap menteri dan ahli politik kerajaan yang berkempen di Sabah tanpa mengenakan pelitup muka, telah disiarkan media secara meluas dan disaksikan rakyat Malaysia.

“Muhyiddin mesti berlaku adil kepada semua anak-anaknya tanpa memilih kasih. Kalau beliau hendak rotan rakyat pun seperti di sebut, hendaklah berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman.

“Jangan beri layanan istimewa kepada Menteri seperti anak emas sementara anak-anak lain dijatuhkan hukuman keras. Rakyat sentiasa memerhati

“Kalau rakyat diminta memakai penutup muka, Menteri pun buatlah yang sama. Jika rakyat pulang luar negara kena kuarantin diri, Menteri pun mestilah tunjuk contoh yang baik dan buat yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga menegaskan bahawa ugutan rotan Muhyiddin menyinggung perasaan rakyat yang mahukan keadilan untuk semua pihak.

Bahkan katanya, rakyat masih menanti apakah hukuman terhadap Menteri yang pulang dari Turki, selepas lebih dua bulan kes tersebut masih lagi dalam siasatan di antara pihak polis dan Peguam Negara.

Menurutnya begitu senang mendakwa dan menghukum rakyat biasa yang susah dan miskin, tetapi begitu rumit hendak mendakwa dan menghukum seorang Menteri.