Malaysia Dateline

PN langgar 6 kerusi BN

Perikatan Nasional (PN) akan melanggar enam kerusi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya Sabah kali ini apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) yang merupakan komponen PN mengumumkan calon mereka malam tadi.

Presidennya, Maximus Ongkili dalam satu kenyataan berkata, parti itu akan bertanding di 15 kerusi iaitu Bengkoka, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Tamparuli, Kiulu, Inanam, Api-Api, Tanjung Aru, Kepayan, Limbahau, Kundasang, Melalap, Telupid dan Karamunting.

Bagaimanapun, beberapa kerusi yang ditandingi itu bertindih dengan parti lain dalam BN iaitu di Bengkoka yang ditandingi Umno manakala di Kepayan dan Karamunting turut ditandingi MCA, lapor Borneo Today.

Selain itu kerusi tiga lagi kerusi iaitu Matunggong, Tandek dan Kadamaian yang ingin ditandingi mereka turut berada dalam senarai satu lagi komponen BN iaitu Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang mengumumkan calon mereka, petang semalam.

“Kerusi yang akan ditandingi kami adalah kerusi PN dan ahli kami terutama di peringkat akar umbi sangat percaya parti ini akan menjadi lebih kuat dengan menggunakan bendera serta logo kami sendiri, selain sebagai rakan kongsi dalam PN.

“Jentera pilihan raya PBS juga telah bersiap sedia, malah sejak sebelum Warisan mengumumkan pembubaran DUN.

“Kami sangat yakin dengan kerja keras semua parti dalam PN dan ahli PBS, kami akan memenangi pilihan raya ini, cukuplah dua tahun Warisan dan sekutunya memusnahkan Sabah,” kata Maximus dalam satu kenyataannya.