Malaysia Dateline

‘PN merapu apa tentang demokrasi berparlimen, prinsip Raja Berperlembagaan?’

Tokoh wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin menyelar kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggap takut kepada undi tidak percaya hingga menyebabkan sidang Parlimen baru-baru ini hanya mendengar Titah Diraja sahaja.

Bekas Penasihat Komunikasi dan Media kepada bekas Perdana Menteri interim itu berpendapat PN bagaimanapun masih mahu menyebut tentang Perlembagaan.

“Tapi tradisi, amalan demokrasi dan tanda hormat kepada Raja pun terpaksa dikorbankan kerana Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin, dan sekutu Perikatan Nasionalnya takut kepada undi tidak percaya.

“Itu pun ada muka bercakap tentang Perlembagaan, prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Demokrasi berparlimen apa yang PN duk merapu ni?

“Sudahlah mandat rakyat jelata melalui PRU ke-14 yang memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan dikhianati, hendak buat sidang Parlimen pun liat,” tulisnya di Facebook.

Reaksi beliau itu susulan ucapan menjunjung kasih yang dipersembahkan kerajaan PN dikepalai Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin hanya dua hari selepas Yang di-Pertuan Agong bertitah.

“Selepas dua hari DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bertitah di Parlimen (18 Mei), barulah kerajaan Perikatan Nasional teringat menyembahkan ucapan menjunjung kasih,” sinisnya.

Mengulas lanjut, Kadir membidas beberapa perubahan keputusan yang dilihat tidak selaras dengan demokrasi berparlimen sebelum berlangsungnya Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei lalu.

“Selepas dua hari DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bertitah di Parlimen (18 Mei), barulah kerajaan Perikatan Nasional teringat menyembahkan ucapan menjunjung kasih.

“Bukankah baik kalau sidang sehari Dewan Rakyat itu dipanjangkan supaya ahli boleh membahaskan ucapan terima kasih kepada Seri Paduka Baginda?

“Mula-mula sidang ditangguhkan. Kemudian dihadkan kepada satu hari. Akhir sekali hanya titah pembukaan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong saja.

“Itu pun nak gebang pasal demokrasi berparlimen? Orang putih kata, hogwash,” tempelak Tokoh Wartawan Negara 2011 itu.

Kadir juga mempersoal nilai amanah yang kononnya akan dilaksanakan kerajaan Muhyiddin seperti disebutkan dalam kenyataan media menjunjung kasih PN semalam.

“Amanah apa yang diomongkan? Muhyiddin sendiri mengaku secara terbuka bahawa kerajaan pimpinannya bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat jelata,” bidasnya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam kenyataan bersama pemimpin BN, Pas serta parti-parti Sabah dan Sarawak berkata Titah Seri Paduka turut memberikan dorongan semangat dan kekuatan kepada kerajaan PN untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Paling penting bagi kerajaan ialah pelaksanakan amanah bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa dipelihara,” katanya.

Walau bagaimanapun, Kadir bertegas rakyat memilih dan memberi mandat serta amanah kepada PH.

“Pada waktu itu PN tidak wujud malah Muhyiddin sendiri adalah produk kemenangan Pakatan Harapan. Sampai hari ini pun Perikatan Nasional hanya wujud pada nama,” tambahnya lagi.