Malaysia Dateline

PN mesti serius guna duit rakyat, elak matlamat PKP 3.0 tidak tercapai

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diingatkan agar benar-benar serius membelanjakan peruntukan bernilai RM40 bilion dalam pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus).

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bimbang perbelanjaan melibatkan sejumlah besar wang rakyat itu tidak berhasil jika penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari ini tidak berjalan seperti dikehendaki.

“Kalau kita dah belanja tetapi ‘total lockdown’ tidak capai matlamat, ianya akan menyulitkan kita semua.

“Sekarang ini PKP 3.0 nak belanja RM40 bilion, kalau akhirnya keadaan Covid-19 masih gagal ditangani, kita akan hadapi keadaan sama dalam keadaan tiada duit,” katanya dalam program bual bicara menerusi slot Wacana Politik Kelantan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan terdapat banyak sektor perkilangan yang bukan dalam kategori keperluan diluluskan permohonannya oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi dalam tempoh sekatan pergerakan penuh ini.

Untuk rekod, sebanyak 128,150 syarikat berdaftar dalam portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) membabitkan kira-kira 1.57 juta pekerja setakat pagi tadi dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP 3.0.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional itu berkata, sebanyak RM300 bilion dibelanjakan semasa PKP 1.0 tahun lalu dan terbukti berjaya melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19.

“Namun disebabkan lalai dan berpolitik hingga buat Pilihan Raya Negeri Sabah, kes naik kembali. Jangkitan (Covid-19) bertambah teruk hingga kini.

“RM300 bilion sudah dibelanjakan tetapi keadaan sekarang tidak bertambah baik,” katanya.

Sehubungan itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan menegaskan kerajaan sepatutnya lebih serius membelanjakan wang sebanyak itu pada PKP 3.0 pada masa ini.

“Dia (PN) sudah isytihar total lockdown sepatutnya dia laksanakan secara berkesan kerana wang yang dibelanjakan ialah duit rakyat.

“Jika tidak, akan memberi kesan pada masa akan datang memandangkan dah ambil wang dari Kumpulan Wang Amanah Negara (untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan), tapi masalah pandemik masih gagal ditangani dengan berkesan,” tambahnya lagi.