Malaysia Dateline

PN-MKN ‘flip-flop’, menteri langgar SOP lepas bebas

Sebahagian daripada pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negara kita sekarang adalah pemimpin pihak yang gagal atau kalah dalam PRU14, iaitu BN.

Setelah bersama-sama menjadi kerajaan sejak 8 Mac 2020, pemimpin BN yang kecundang itu turut mempengaruhi atau menjadi antara faktor kegagalan kerajaan PN, terutama dalam menghadapi ancaman Covid-19.

Tiga menteri (utama) yang terlibat langsung dengan menangani wabak pandemik ini datang dari Umno, iaitu Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pertahanan/Kanan Keselamatan; Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan; dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sementara Menteri Pengangkutan yang pernah mencetus kontroversi dengan isu pemandu mabuk, dan baru-baru ini, isu penjualan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Antarabangsa Subang), Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong ialah Presiden MCA.

Apakah kegagalan menentang Covid-19 mahu dibiarkan berterusan dan negara kita menjadi seperti India yang sedang tenat akibat wabak pandemik tersebut?

Kerajaan PN seperti tiada idea baharu, malah buntu dalam usaha memerangi wabak maut ini. Segala yang dilakukannya serba tidak kena.

Mungkin tidak keterlaluan kalau ada yang mengatakan ini karma atau ‘bayaran tunai’ untuk kerajaan PN kerana berkuasa dengan cara salah – pengkhianatan menerusi ‘Langkah Sheraton’.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kegagalan ini menyebabkan rakyat Malaysia agak terkesan dengan kaedah yang lemah dilaksanakan.

Pengenalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020 masih menyaksikan pertambahan kes baharu, kematian dan kesengsaraan rakyat, terutamanya bagi golongan B40.

Anwar turut merujuk ungkapan pandangan saintis Albert Einstein, “kegilaan itu adalah melakukan sesuatu hal yang sama berulang kali, tetapi mengharapkan hasil yang berbeza”.

Kebimbangan kita berdasarkan data-data yang dinyatakan, sekarang kita mencatat lebih 3,000 kes jangkitan baharu, malah lebih 4,000 kes untuk beberapa hari lalu. Kes aktif mencecah 37,936 orang.

Pakar virologi pernah membuat unjuran, kemungkinan kes akan bertambah dari 6,000 hingga 10,000 kes sehari pada masa akan datang. Peningkatan mendadak kes harian Covid-19 akan menyebabkan kemudahan kesihatan di Malaysia sangat bermasalah kerana katil-katil di hospital pada masa ini sudah pun hampir penuh.

Justeru, kerajaan digesa agar mengadakan sidang Parlimen dalam kadar segera agar perbincangan dapat dilakukan antara pihak kerajaan (PN) dengan pembangkang (PH) untuk menangani wabak pandemik ini secara lebih baik, dan kaedah memulihkan ekonomi Malaysia.

Selain sidang Dewan Rakyat, saranan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim pada 7 Mei lalu boleh diikut.

Katanya, setelah 16 bulan negara mendepani wabak pandemik, kerajaan PN perlu membuang perasaan malu untuk mengakui kelemahan mereka mengatasi virus corona.

Zaid menyarankan Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin merombak semula ahli Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia ada yang ditugaskan membuat dasar, dan menangani Covid-19.
Malaysia, kata Zaid, telah gagal. Sambil jangan malu mengakui kelemahan diri, MKN wajar mengambil kumpulan yang lain.

Walau bagaimanapun, tegas Zaid, tidak perlu ramai wakil polis dan tentera, apatah lagi ahli politik yang hanya mengutamakan kepentingan politik menyertainya.

Tambah mantan Ahli Parlimen Kota Bharu itu, Putrajaya telah gagal jika ada ada negara lain yang kurang maju berbanding Malaysia lebih berjaya mengurus wabak pandemik.

Puncanya, kata tokoh yang memiliki latar belakang undang-undang itu, ialah kerajaan PN memilih orang yang tidak mampu menyelesaikan masalah.

Disebabkan Malaysia masih dalam tempoh darurat, kata Zaid, Perdana Menteri jangan bimbang mengenai undi tidak percaya. Muhyiddin sepatutnya melakukan yang terbaik untuk negara.

‘Perang’ melawan Covid-19 di negara ini masih belum menunjukkan tanda kejayaan. Secara keseluruhan, ketika rencana ini disiapkan, Malaysia mencatatkan 444,484 kes (10 Mei) walaupun kes harian menurun dari 4,519 (8 Mei) ke 3,733 (9 Mei), tetapi kes naik semula ke 3,807 (10 Mei).

Kes positif adalah 37,396. Pada 9 Mei lalu juga, sebanyak 26 kematian direkodkan, iaitu kematian tertinggi, yang ditambah 17 pada 10 Mei, menjadikan jumlah keseluruhan korban Covid-19 ialah 1,700 orang.

Kata Zaid, kerajaan dan MKN juga perlu berterus-terang kepada rakyat berhubung sesuatu tindakan yang diambil.

Sebagai contoh, jumlah dos vaksin yang dibeli, harga vaksin, dan sama ada negara benar-benar mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi untuk rakyat jangan disembunyikan.

Sebagaimana selalu, selebriti seperti penyanyi dan pelakon terkenal digunakan sebagai daya penarik. Namun begitu, Zaid mengatakan iklan sedemikian sia-sia kalau vaksin tidak mencukupi.

Jangan rahsiakan perkara-perkara seperti harga vaksin, dan wang kerajaan untuk tempoh setahun lagi. Akta Rahsia (Rasmi), katanya, bukan untuk merahsiakan perkara sebegini.

Zaid turut mencadangkan agar seorang individu sahaja dilantik menjadi jurucakap ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), iaitu Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, jangan menteri-menteri lain, kerana keputusan dasar dan PKP mesti berteraskan fakta dan sains, bukan politik.

Zaid hairan makan di restoran dilarang, sedangkan kadar jangkitan lebih tinggi dari (sektor) pekerja pembinaan berbanding dari restoran. Mengapa, katanya, sektor pembinaan masih berjalan seperti biasa?

Rakyat perlu memahami mengapa PKP membenarkan bazar Ramadan, tetapi restoran mamak ditutup. Dalam hal ini, kata Zaid, MKN mesti objektif dan saintifik.

Enam daripada sembilan daerah di Selangor diletakkan di bawah pelaksanaan PKP dari 6 Mei sehingga 17 Mei. Seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan beberapa daerah serta mukim di Johor, Perak dan Terengganu pula dari 7 Mei sehingga 20 Mei.

Ini merupakan PKP kali ketiga dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membendung penularan jangkitan Covid-19.

Pada 8 Mei lalu, Ismail mengumumkan semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran PDRM di seluruh negara tidak dibenarkan, berkuatkuasa mulai 10 Mei sehingga 6 Jun 2021.

Tambah Zaid, kerajaan juga perlu berani membuat keputusan jika mahu menyaksikan penurunan kes jangkitan dengan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih relevan.

Tidak wajar, katanya, keputusan mengenai berapa ramai orang boleh berada di tempat ibadah dilepaskan kepada kerajaan negeri.

Tegas Zaid, Covid-19 bukan soal agama, tetapi soal kesihatan umum. Putrajaya perlu berani membuat keputusan kalau wabak pandemik itu yang ditentang.

Bazar dibuka di sesetengah tempat, dan ditutup di tempat yang lain bukan cara mengatasi virus bahaya seperti Covid-19. Rakyat, kata Zaid, akan faham jika keputusan dibuat dan dilaksanakan dengan tegas.

Sementara itu, pakar perunding fizik dan nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah yakin kes baharu Covid-19 akan mencapai 10,000 ribu kes sehari tidak lama lagi.

Menurut beliau dalam Facebooknya, katil di wad ICU sudah hampir digunakan sepenuhnya, manakala katil-katil bukan ICU pula sekarang diletakkan mesin bantuan pernafasan.

Tambah Rafidah, ini hanya permulaan, tetapi petugas-petugas perubatan sudah pasrah. Cuma beliau belum pasti adakah Malaysia akan merasai apa yang India lalui sekarang.

Walau bagaimanapun, Rafidah berbeza dengan Zaid apabila mengatakan sesiapa pun tidak perlu menuding jari kepada siapa dengan apa yang berlaku hari ini.

Katanya, kita semua telah gagal. Justeru, beliau meminta Ismail agar tidak mengenakan PKP berdarjat kerana masyarakat sangat keliru sekali gus beliau meminta pelaksanaan PKP penuh walaupun tahu ekonomi perlu difikirkan.

Rafidah bertanya mampukah kita menerima lebih ramai meninggal dunia, dan sakit berpanjangan sebab jangkitan Covid-19 demi ekonomi? Beliau hanya tahu nyawa manusia tidak ternilai.

Beliau menyeru masyarakat Malaysia agar berkorban Aidilfitri tahun ini dan terus duduk di rumah sendiri – tidak perlu bercium dan bersalam dengan sesiapa pun. Katanya, bukan membantu pihaknya, tetapi semua rakyat kerana Covid-19 sudah ada merata-rata.

Namun begitu, Ismail menyatakan kerajaan tidak bercadang melaksanakan satu lagi tempoh PKP di seluruh negara setakat ini, sebaliknya meneruskan perintah itu secara bersasar.

Pelaksanaan PKP bersasar juga, tambah Ismail, boleh dilakukan mengikut sistem Pengecaman Awal Titik Panas atau HIDE yang boleh menunjukkan kawasan tertentu dengan penularan kes yang besar (titik panas) Covid-19 untuk dikenakan PKP.

Covid-19 dan PKP yang masih berlarutan dengan pelbagai kategori seperti PKP Bersyarat (PKPB), PKP Diperketat (PKPD), dan PKP Diperketat Bersasar (PKPDB) amat memberi kesan buruk kepada banyak pihak.

Walau bagaimanapun, ketika PKP 3.0 baru bermula di Selangor, dan Kuala Lumpur juga beberapa daerah, serta mukim di Johor, Perak dan Terengganu, dan tiada cadangan mengenakan semula PKP penuh, PN membuat keputusan besar, yang menunjukkan betapa ia kerajaan yang flip-flop, dan selalu u-turn.

Muhyiddin pada Mei 10 lalu mengumumkan PKP 3.0 diperluas ke seluruh negara. Langkah itu diputuskan dalam Sidang Khas MKN Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikannya, ekoran trend peningkatan kes harian wabak maut tersebut yang meletakkan negara berdepan dengan gelombang ketiganya.

Berulang dan berulang, Muhyiddin menyatakan, rantaian jangkitan Covid-19 hanya dapat diputuskan dengan menggalakkan orang ramai duduk di rumah menerusi PKP 3.0 yang lebih ketat. Benarkah lebih ketat?

PKP 3.0 berkuat kuasa dari 12 Mei hingga sehingga 7 Jun 2021. Ini tidak termasuk larangan yang telah diumumkan lebih awal oleh Ismail, iaitu larangan rentas daerah dan negeri, aktiviti sosial, sukan dan pendidikan – yang berkuat kuasa dari 10 Mei hingga 6 Jun depan.

Namun demikian, saya fikir kesan positif besar PKP 3.0 (seperti hasil PKP 1.0) tidak akan tercapai kerana semua sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi.

Saya mengulangi pertanyaan Rafidah – mampukah kita menerima lebih ramai meninggal dunia, dan sakit berpanjangan sebab jangkitan Covid-19 demi ekonomi?

Dengan pengumuman PKP 3.0, hanya tiga individu dibenarkan menaiki sebuah kenderaan, termasuk pemandu bagi kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing.

Bilangan penumpang kenderaan yang membawa barangan, serta rantaian ekonomi/industri pula bergantung pada jumlah yang dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.

Bilangan orang yang dibenarkan di dalam pengangkutan awam pula mestilah mematuhi penjarakan fizikal, dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Penjualan makanan hanya dibenarkan secara pandu lalu dan bungkus sahaja, manakala makan di restoran tidak dibenarkan sama sekali.

Majikan juga diwajibkan melaksanakan dasar bekerja dari rumah dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa.

Semasa sambutan Aidilfitri pula, ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur tidak dibenarkan.
Solat sunat Aidilfitri tertakluk pada kapasiti masjid dan surau – tidak melebihi 50 orang bagi masjid, dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah, dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah.

Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat. Selain itu, operasi rumah ibadah bukan Islam juga akan diperketat.

Langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan.

Rentas daerah dan negeri masih dilarang, kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi, dan pasangan jarak jauh.

Semua perhimpunan sosial, aktiviti sukan dan rekreasi dilarang, kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti joging, berbasikal dan senaman.

Semua institusi pendidikan juga diarahkan tutup, kecuali untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa.

SOP terperinci bagi semua larangan dan arahan yang terkandung dalam PKP 3.0 ini akan diumumkan oleh MKN.

Malaysia sedang berdepan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional. Tindakan lebih drastik itu juga diambil oleh kerajaan ekoran kewujudan varian baharu dengan kadar jangkitan lebih tinggi, kekangan kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing, selain kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan sebahagian masyarakat.

Data dan sains terus menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti perhimpunan yang menyukarkan penjarakan sosial dan keberadaan orang ramai dalam ruang yang sesak menjadi punca utama penularan Covid-19.

Atas rasional itulah, walaupun pasti memberi lebih banyak kesan buruk kepada sosioekonomi rakyat, kerajaan PN berpendapat PKP di seluruh negara harus dilaksanakan agar negara tidak terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah.

Dari satu segi, PKP 3.0 wajar. Cuma kini ramai rakyat kian bosan kerana pelaksanaan berdarjat sebagaimana kata Rafidah. Sebenarnya, SOP tidaklah sesukar mana untuk dipatuhi.

Malangnya, akibat segelintir (yang kian ramai) mereka yang digelar ‘golongan kayangan’ melanggar SOP tidak terus didenda, kian ramai rakyat memprotes.

Akhirnya, kerajaan PN menyalahkan rakyat ekoran kenaikan kes, sedangkan ia buat-buat tidak tahu ada juga menteri yang melanggar SOP (‘cakap tak serupa bikin’), tetapi lepas bebas!

*RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.