Malaysia Dateline

PN perlu hentikan ugutan terhadap media dan rakyat

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir mengkritik tindakan pegawai menteri Perikatan Nasional (PN) yang didakwa cuba mengugut sebuah media tempatan sekiranya memberi ruang kepada individu tertentu dalam liputannya.

Beliau berkata, dakwaan yang dinyatakan oleh Pengerusi Kumpulan Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub, jelas memberi isyarat awal terhadap kemungkinan kebebasan media di Malaysia akan kembali disekat.

Menurutnya, tindakan berkenaan boleh memberi kesan besar kepada pengamal media dalam menyampaikan berita yang bertanggungjawab, adil, profesional, beretika dan berani selari dengan amalan demokrasi.

“Ini memberi isyarat awal terhadap kemungkinan kebebasan media di Malaysia akan kembali malap hingga memberi kesan besar kepada pengamal media.

“Isyarat ini bertambah kuat dengan kenyataan daripada Pengerusi Bersatu Negeri Terengganu, Senator Datuk Razali Idris yang mencadangkan agar pindaan dilakukan terhadap Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bagi mengenakan hukuman lebih tegas kepada rakyat Malaysia yang mengkritik institusi Perdana Menteri.

“Usaha untuk menyekat media dan menutup mulut rakyat daripada bersuara adalah langkah kebelakang terjemahan daripada ketakutan dan sikap tidak mesra kerajaan PN kepada media,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Husamuddin mendakwa adanya pegawai menteri yang cuba mengugut akan membatalkan kontrak pengiklanan jika media memberi ruangan liputan kepada individu tertentu.

“Siap ugut nak boikoit lagi. Ingat boleh tongkat langit ke?,” tulisnya dalam satu hantaran Facebook semalam.

Sementara itu, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, pendekatan PN amat berbeza berbanding Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang komited terhadap agenda kebebasan media.

Ini katanya, dapat dibuktikan melalui laporan badan antarabangsa iaitu Reporters Without Borders (RSF) dalam indeks tahunan Kebebasan Media Dunia 2020 yang menunjukkan Malaysia mengalami peningkatan amat memberangsangkan apabila menduduki tempat ke-101 berbanding tempat ke-145 pada tahun 2018.

“Justeru, kerajaan PN digesa untuk menghentikan sebarang cubaan bersifat drakonian yang boleh menggugat kebebasan media di Malaysia.

“Industri media memainkan peranan signifikan dalam melaporkan berita yang telus supaya rakyat dapat membuat pertimbangan yang adil terhadap sesuatu perkara dan usaha media ini perlulah dihargai, bukannya dicengkam,” tegasnya lagi.