Malaysia Dateline

PN perlu rancang pelan pemulihan ekonomi domestik yang komprehensif

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada kini seharusnya serius merancang satu pelan pemulihan ekonomi domestik yang lebih komprehensif dan mampan.

Malah merangka pelan pemulihan ekonomi pasca Covid-19 dengan secepat mungkin bagi mengelakkan keadaan ekonomi negara menjadi lembab kesan penularan wabak Covid-19.

Demikian dinyatakan oleh Naib Ketua Pemuda 1, AMANAH Pulau Pinang, Muhd Farid Ismail.

Jelasnya, wabak Covid-19 telah menjadi pandemik di seluruh dunia dan ianya memperlihatkan betapa lemahnya sistem pengurusan wabak penyakit oleh kuasa-kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat.

“Ekoran wabak Covid-19 ia telah menyebabkan sistem ekonomi dunia termasuk Malaysia terjejas teruk dan rata-rata peniaga dan pengusaha kecil dan sederhana berdepan risiko kelembapan ekonomi sehingga menjejaskan prestasi perniagaan mereka.

“Tidak dapat dinafikan kerajaan kini mengambil langkah pemulihan ekonomi ekoran wabak ini, namun begitu langkah-langkah yang diambil adalah bersifat sementara dan memerlukan suatu penyelesaian menyeluruh yang menjurus ke arah penyelesaian pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

“Tindakan yang diambil dilihat hanyalah bersifat tidak menyeluruh untuk semua sektor ekonomi dan perusahaan dan merasakan perlu adanya perancangan pelan ekonomi domestik yang lebih komprehensif,” ujar beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda AMANAH kawasan Permatang Pauh.

Soal Farid lagi, apakah kerajaan PN sudah bersedia dengan solusi peningkatan kes pengangguran yang disebabkan kesan wabak ini serta persediaan bagi menghadapi pelbagai masalah sosial yang akan berlaku dalam masyarakat sekiranya gagal membendung masalah pengangguran tersebut.

Tambah beliau, kegagalan menguruskan ekonomi kesan pasca Covid-19 akan menyebabkan kerajaan PN yang dianggotai seramai 70 barisan kabinet sebagai kerajaan yang lemah dan tidak mampu untuk menguruskan ekonomi negara dengan baik sepertimana yang telah berjaya dilaksanakan semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.