Malaysia Dateline

PN perlu sedar kelemahan, angkat semangat dwipartisan menangi perang Covid-19

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memerlukan sokongan dan dorongan daripada banyak pihak, bukan sahaja daripada pihak kerajaan, malahan pembangkang dan rakyat Malaysia keseluruhannya agar negara cepat bebas daripada wabak ini.

Tidak ada gunanya kerajaan Perikatan Nasional (PN) berterusan menutup telinga dan bersikap angkuh untuk tidak menerima cadangan serta pandangan pelbagai pihak dalam memastikan kejayaan program PICK mencapai imuniti kelompok (herd immunity).

Negara kita hanya akan bebas daripada Covid-19 seperti New Zealand apabila kerajaan mula sedar, dengar dan bertindak sewajarnya dengan usaha sama semua pihak.

Saban hari, kerajaan didesak hebat agar mempercepat proses vaksinasi kepada rakyat, namun ia masih terlalu perlahan hingga menyebabkan banyak pihak termasuk sektor swasta dan kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Sabah, Pahang, Selangor dan Johor telah meminta untuk membeli vaksin tersebut demi memastikan keselamatan rakyat di negeri masing-masing.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, monopoli Pharmaniaga Bhd terhadap pembelian vaksin dan proses pembelian yang kompleks bukan jalan terbaik oleh kerajaan untuk memastikan lebih ramai yang menerima vaksin dalam situasi negara kini.

“Kelulusan segera perlu diberikan oleh kerajaan Persekutuan kepada semua kerajaan negeri untuk membeli atau mendapatkan sumbangan vaksin demi melindungi rakyat sesegera mungkin,” tegasnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Ahli-ahli Parlimen PH sedia membantu kerajaan membuat hebahan mengenai program saringan komuniti bersasar.

 

Selain itu, pendekatan dwipartisan dalam menangani wabak pandemik yang semakin meruncing kini adalah jalan terbaik demi menyelamatkan nyawa serta ekonomi rakyat.

Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam satu kenyataan sebelum ini mendesak Menteri Wilayah, Annuar Musa untuk mencontohi kerajaan negeri Selangor agar memberikan ujian saringan percuma kepada warga Kuala Lumpur.

Peningkatan kes baharu Covid-19 di Kuala Lumpur mencetuskan kegusaran dan program saringan komuniti bersasar ini amat wajar diadakan bagi membantu mengurangkan jumlah kes.

Malah, ahli-ahli Parlimen PH dan pembangkang Kuala Lumpur juga menyatakan kesediaan mereka untuk membantu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) membuat hebahan mengenai program saringan komuniti bersasar kepada penduduk dalam kawasan Parlimen masing-masing.

Pelbagai inisiatif turut diambil oleh wakil-wakil rakyat pembangkang dalam usaha memastikan tiada yang tertinggal dalam pelaksanaan PICK, antaranya membuat hebahan kerap dengan maklumat-maklumat terkini di media-media sosial, bergerak ke kawasan-kawasan pedalaman untuk memberi bantuan pendaftaran serta menghantar mereka ke pusat vaksinasi, dan macam-macam lagi usaha dijalankan.

Kerajaan Persekutuan perlu memahami bahawa tugas dan beban perang melawan Covid-19 ini tidak perlu ditanggung sendiri, tetapi mereka perlu sedar kelemahan diri, buka hati untuk terima cadangan serta pandangan dan belajar untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak.

Akses lif disediakan bagi pengguna kerusi roda untuk mendapat vaksin di WTCKL.