Malaysia Dateline

PN perlu tangani segera isu alat peranti, akses internet, TV Pendidikan

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) gagal menangani isu-isu kritikal berkaitan persiapan serta kesediaan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“KPM sejak Mac tahun lalu diarahkan untuk melaksanakan inisiatif PdPR ini, namun sehingga hari ini kita masih menghadapi masalah dan berada pada tahap yang sama,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Hampir setahun isu-isu kritikal seperti ketiadaan alat peranti elektronik, masalah akses internet dan kelemahan isu TV Pendidikan masih gagal ditangani oleh PN dan KPM.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu berkata, KPM sedar bahawa 36.9 peratus pelajar di Malaysia tidak mempunyai alat peranti elektronik bagi menjalani pembelajaran atas talian sejak April tahun lalu.

Jelasnya, ini bermakna lebih kurang 1.7 juta pelajar terdesak memerlukan komputer riba ataupun tablet bagi memenuhi PdPR.

Nie Ching sebagai bekas Timbalan Menteri Pendidikan dalam satu kenyataannya pada November tahun lalu berkata,150,000 komputer riba yang dijanjikan oleh Menteri Kewangan dalam Belanjawa 2021 adalah amat tidak mencukupi untuk para pelajar.

“Malah, sehingga hari ini di mana 150,000 komputer riba yang dijanjikan itu?

“Bagaimana kerajaan boleh berpuas hati dengan menjanjikan 150,000 komputer riba, sedangkan PdPR adalah norma baharu yang akan dilalui dalam satu tempoh masa yang panjang?” soalnya.

Guru-guru, para pelajar dan ibu bapa amat terkesan dengan masalah capaian internet yang tidak memuaskan, malah pada tahun lepas banyak berita sedih yang diterima mengenai isu ini.

Oleh itu, Nie Ching sebagai antara ahli Parlimen yang prihatin akan isu pendidikan negara terus-menerus bertanya apakah pengajaran yang diambil oleh kerajaan melalui kisah Veveonah Mosibin, Cikgu Mujalifah Kassim dari SMK Sibu Jaya, Cikgu Sambau Dugat dari SMK Lubok Antu dan tiga orang pelajar di Ranau Sabah.

Menurut bekas Ahli Parlimen Serdang itu juga, kerajaan perlu menjelaskan perancangan mereka bagi pelajar-pelajar yang tiada akses internet.

“Adakah kerajaan bersedia untuk menyediakan pakej data internet satelit percuma untuk mereka?” soalnya.

Beliau turut berpendapat servis TV Pendidikan adalah amat penting sekali, namun kandungan dan tempoh masa tayangan tidak mencukupi.

“Sejak tahun 2020, kami telah menyatakan kekurangan saluran TV Pendidikan ini, bahkan turut diakui Menteri Pendidikan sendiri.

“Namun, mengapa masih belum ada penambahbaikan?” soal Nie Ching lagi.

Beliau bagaimanapun berkata, situasi pandemik kini memberikan cabaran amat besar buat semua dan turut memahami kesulitan yang dihadapi pihak kerajaan.

Namun, Nie Ching menegaskan kerajaan perlu pantas menangani isu-isu kritikal dan cabaran ini kerana masa depan anak-anak Malaysia yang dipertaruhkan.