Malaysia Dateline

PN pintu belakang, pintu istana atau tebuk ikut atap bergegar di Parlimen

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan kerajaan pintu belakang sebaliknya kerajaan pintu istana.

Beliau berkata, sebaik sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad tetap dengan keputusan meletakkan jawatan, Yang di-Pertuan Agong telah melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri di mana dengan hemat baginda, Ahli Parlimen Pagoh itu mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ia kemudiannya disanggah Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang mempertikaikan kenyataan tersebut bertentangan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang).

“Tadi kata ini kerajaan pintu istana, sedar ke ini bercanggah dari Marang. Marang cakap ini kerajaan tebuk atap. Kami pening ni, Kami suka tebuk atap lagi glamor,” sinisnya.

Ahmad Maslan berkata oleh kerana Abdul Hadi tiada di dalam Dewan dan tidak menyebut berkenaan pintu atap, maka beliau tidak mengambil kira gelaran tersebut.

Beliau juga mengesyorkan agar gelaran kerajaan pintu belakang dihentikan atau ia boleh dianggap menghina keputusan istana.

“Maka rumusan terhadap pintu istana ini, saya syorkan hentikanlah gelaran tersebut. Saya cadangkan supaya jika ada lagi keluar kenyataan tersebut, bermaksud dia menghina keputusan istana dan sepatutnya dianggap sebagai ‘unparliamentary’,” tegasnya.

Susulan itu, Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) kemudiannya menyelar Pontian dengan menjelaskan bahawa istilah kerajaan pintu belakang timbul kerana PN menjadi kerajaan tanpa melalui pilihan raya umum yang sepatutnya.

Ngeh Koo Ham turut mempersoal sekiranya Pontian bersetuju bahawa pilihan raya seharusnya dihormati.

“Adakah Pontian setuju bahawa kita mestilah hormat pilihan rakyat semasa PRU dan tidak ada kerajaan tebuk atap, pintu istana serta lain-lain istilah.

“Kerana dengan percaturan politik dan ‘katak-katak’ melompat ini menyebabkan ketidakpastian pentadbiran negara sheingga pelabur tempatan dan asing takut berlabur yang menjejaskan pembangunan negara,” bahasnya.

Karupaiya Mutusami (DAP-Padang Serai) pula berdiri dan membidas, “Kita ini parti yang tak boleh lompat. Walaupun (sokongan) 109, kita gentleman. Kita tak ada (jawatan) GLC. Kalau berani buanglah GLC, tengok berapa ramai lompat sini,” tegasnya.