Malaysia Dateline

PN putuskan Saarani Mohamad calon MB Perak baharu

Perikatan Nasional (PN) sepakat memutuskan untuk mencalonkan Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar baharu di negeri itu.

Menerusi satu kenyataan bersama antara Setiausaha-setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Pas dan Bersatu, mereka memaklumkan akan mempersembahkan cadangan nama berkenaan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Dimaklumkan juga, Pengerusi BN telah menyampaikan permohonan maaf bagi pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Perak di atas kekhilafan yang berlaku.

“Atas semangat pemuafakatan PN, ketiga-tiga parti telah bersetuju untuk mencadangkan Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu untuk diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

“Perbincangan hari ini juga telah mencapai kata sepakat mengenai pelantikan-pelantikan lain dalam kerajaan negeri.

“Ketiga-tiga parti turut bersepakat untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional di negeri Perak dan juga di peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara SUA Agung BN, Tan Sri Annuar Musa; Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; dan Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.