Malaysia Dateline

PN Sarawak serah kepada GPS tentukan pembahagian kerusi

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan kepada Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam soal pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 nanti.

Bagaimanapun katanya, PN Sarawak tetap bersedia untuk berhadapan dengan PRN12 lebih-lebih lagi telah melaksanakan khidmat kepada rakyat sebelum ini dan bukannya sekadar menjelang musim pilihan raya sahaja.

“Konsep politik kami ialah berkhidmat kepada semua dan yang perlu diutamakan adalah rakyat Sarawak sekali gus melangkaui hanya pada musim pilihan raya.

“Malah, dalam soal pembahagian kerusi pada PRN12, kami berpegang kepada kebijaksanaan kepimpinan iaitu Presiden Parti Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kebijaksanaan Ketua Menteri juga Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dalam membuat sebarang keputusan.

“Di samping itu, kita juga melihat pihak kerajaan negeri pada masa kini di bawah kepimpinan Ketua Menteri telah memberi perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat Sarawak yang terdiri dari pelbagai kaum dan etnik.

“Oleh demikian, saya berharap adalah wajar bagi kita memberi sokongan kepada Abang Johari sekali lagi untuk meneruskan perkhidmatan dan agenda pembangunan untuk semua rakyat Sarawak,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun beliau berharap agar prosedur operasi standard (SOP) PRN12 ini dapat ditetapkan segera berikutan masih terdapat lagi banyak kes Covid-19 yang direkodkan di negeri ini.

“Soal keselamatan dan SOP perlu jelas dan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana kita baru sahaja kembali menjalani kehidupan normal.

“Ini kerana kita mahu supaya semua pihak dapat berfikir dan menyumbang langkah terbaik dalam melaksanakan PRN12 Sarawak kelak berlangsung dengan selamat dan tidak membahayakan nyawa kita semua,” kata beliau