Malaysia Dateline

PN sentiasa cemas tidak yakin dengan suara majoriti mereka

Saya hadir di Parlimen pagi ini (semalam) untuk memastikan apabila sejarah ditulis satu hari nanti, insyaAllah saya tidak berada di sebelah pihak yang salah dalam sejarah (the wrong side of history).

Semalam saya menerima beberapa mesej dari kawan-kawan yang mengatakan “selamat bersidang Parlimen esok YB! “. Secara jenaka, saya jawab “esok bukan pergi sidang, tapi ikut rombongan ke Parlimen!”

Jenaka saya berasaskan fakta ini. Yang dikatakan bersidang itu hanya setakat perasmian sidang Parlimen sesi baru yang sepatutnya ada beberapa agenda selain titah perasmian oleh YDPA!

Biasanya, dalam sidang kali pertama, sepatutnya paling kurang ada agenda pelantikan Speaker atau Yang DiPertua Dewan Rakya dan para timbalannya yang baru. Tidak bolehlah kerajaan baru, tiba-tiba nak pakai khidmat Speaker kerajaan lama. Ini bertentangan dengan “parliamenrary convention!”

Ya, boleh sahaja kerajaan baru – tidak kiralah bagaimana cara ia dibentuk – pintu belakang atau tebuk atap – ia mesti ada agenda lantik Speaker baru pada hari pertama persidangan.

Jika katakan Perikatan Nasional (PN) mahu kekalkan Speaker yang lama pun, mestilah paling kurang ada satu usul di Parlimen. Malangnya, ia tidak berlaku.

Maka, sekarang ini Malaysia ada kerajaan baru yang masih guna khidmat Speaker kerajaan lama! Bahaya! Risiko tinggi macam Covid-19 juga!

Dalam bahasa Peraturan Mesyuarat Parlimen (Standing Orders) aturan agenda mesyuarat (order of business) pada hari pertama mesti ada pelantikan Speaker. Sidang Julai sudah kira bukan hari pertama!

Tapi mungkin sebab Peraturan Mesyuarat tentang “business” kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum, sedangkan PN adalah kerajaan yang tiada langsung hubungan dengan pilihan raya, maka mereka mungkin rasa tidak perlu ikut kehendak peraturan itu. Habis mereka ikut peraturan mana pula?

Apapun, berdasarkan laporan media dikatakan kerajaan PN menpunyai majoriti tipis di dalam Dewan Rakyat – kelebihan dua atau tiga undi sahaja!

Jika kita andaikan laporan media itu betul, adalah pelik kerajaan baru ini tidak mahu pastikan paling kurang bawa usul lantik Speaker Dewan Rakyat yang baru selepas Titah DiRaja.

Kenapa kerajaan yang ada suara majoriti berdasarkan laporan media itu tidak mahu teruskan apa-apa agenda mesyuarat selepas perasmian dewan oleh YDPA ?

Kenapa parti Pas yang ada dalam kerajaan baru dan sebelum ini pernah cadang untuk bawa usul percaya (votes of confidence) kepada mantan Perdana Menteri (PM), kini tidak mahu pula bawa usul yang sama semalam?

Apa yang jelas apabila melihat fenomena yang berlaku di Dewan Rakyat, saya rasa, kerajaan PN tidak boleh nak lari dari spekulasi yang berasas ini- ia adalah kerajaan yang ada majoriti dalam dewan tapi ia juga tidak yakin dengan suara majoriti tersebut.

Maka untuk selamat sementara ini, sebarang agenda mesyuarat yang perlu ada usul yang membawa kepada undian hatta usul daripada pihak kerajaan sendiri hendaklah dielakkan atas apa cara pun.

Maka, saya berani simpulkan bahawa PN adalah kerajaan yang ada suara majoriti tetapi tidak yakin hatta dengan suara majoriti tersebut!

Kasihan juga kepada kerajaan seperti ini kerana saya yakin dari PM membawa kepada para menteri mungkin mereka semua sentiasa berada dalam keadaan gundah gulana dan cemas setiap masa!

*Penulis ialah Ahli Parlimen Sepang.