Malaysia Dateline

PN sudah jadi kerajaan, boleh siar debat Tabung Haji dalam RTM

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya tiada masalah untuk membenarkan debat antara Ahli Parlimen Parit Buntar dan Baling berhubung kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, debat antara Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim boleh sahaja diadakan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Buatlah debat di RTM, kamu (PN) sudah kerajaan. Dulu mungkin boleh buat alasan kerajaan PH tidak benarkan. Sekarang ini PN jadi kerajaan.

“Benarkanlah debat secara langsung antara Yang Berhormat Baling dan Yang Berhormat Parit Buntar,” katanya dalam Bicara YB Khalid Samad (Siri 66) bertajuk, “Antara Negara Adil dan Negara Zalim” semalam.

Kelmarin, Mujahid dalam temubual khas bersama Malaysia Dateline mencabar Azeez yang merupakan bekas Pengerusi TH untuk berdebat mengenai institusi kewangan Islam itu.

Mengulas desakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH terdahulu, beliau berpendapat hal itu sebenarnya tidak perlu dilakukan.

Ada penipuan 

Walau bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) pada masa ini, katanya, tiada masalah sekiranya kerajaan PN mahu juga mewujudkan RCI TH.

“Dalam soal RCI ini kita tiada masalah nak buat. Hanya dalam zaman kita (PH), kita rasa tidak perlu.

“Kenapa nak buat RCI sedangkan laporan kewangan audit syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC), laporan Ernst & Young (EY) dan Jabatan Audit Negara (JAN) telah menunjukkan semua keadaan yang sama iaitu liabiliti (TH) mengatasi aset.

“Memang ada yang tidak dilaporkan dengan tepat. Ada penipuan dan penyelewengan.

“Lalu apabila telah disiasat oleh pihak swasta dan kerajaan, nak buat RCI untuk apa? Tapi kalau kerajaan PN nak buat RCI sekarang, silakan,” katanya dalam program yang dimoderatorkan Mohd Shaiful Roseman secara langsung di Jom Channel FB Live.

Namun, ujarnya, kerajaan wajib mengambil tindakan undang-undang ke atas PwC, EY dan JAN jika RCI tersebut mendapati wujud percanggahan dengan pendedahan mereka sebelum ini.

“Sekiranya RCI mendapati sebaliknya maka berkewajipan kerajaan menyaman PwC, EY dan JAN.

“Takkan RCI nak biarkan mereka buat tidak betul sekadar untuk membersihkan nama Yang Berhormat Baling. Kalau didapati tidak betul, dia (kerajaan BN) kena ambil tindakan,” tambah Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi.