Malaysia Dateline

PN terdesak sehingga batalkan sidang Parlimen?

Perikatan Nasional (PN) dilabel sebagai terdesak apabila mengumumkan untuk membatalkan sidang Parlimen pada 18 Mei ini dengan hanya membenarkan titah Diraja dilakukan.

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, tindakan tersebut mencemarkan nama Malaysia bukan sahaja sebagai kerajaan kleptokrat, bahkan juga kerajaan dayus yang digelarkannya mempunyai tahap moral terendah dalam mengamalkan proses demokrasi tulen.

Beliau menempelak bagaimana demokrasi dalam negara pada akhirnya bukan dimakmurkan dan dihidupkan untuk rakyat, sebaliknya ianya dinodai dan terus diperalatkan oleh kerajaan.

“Negara lain boleh bersidang terus atau secara virtual tetapi kita takut nak bersidang walaupun untuk satu hari.

“Begitulah rendahnya tahap kehinaan dicapai oleh Malaysia hari ini.

“(Sepertinya), titah Yang Di Pertuan Agong dibenarkan agar Parlimen tidak terbubar demi menyelamatkan kerajaan. Tetapi bukan untuk menghidupkan roh konsep sidang Parlimen sebenarnya yang dibatalkan pada saat akhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu berkata lagi, apa yang berlaku ketika ini memperlihatkan tindak tanduk yang takut berhadapan undi tidak percaya dari blok pembangkang.

Tegasnya, institusi Raja berpelembagaan perlu dihormati secara menyeluruh dan tidak seharusnya mana-mana ahli politik dibenarkan untuk memanipulasi sistem tersebut.

Beliau turut mempersoalkan adakah sebenarnya bilangan ahli Parlimen yang dikemukakan semasa penubuhan kerajaan dahulu, tidak memberi gambaran yang sebenarnya.

“Kalau dahulu PN mendakwa mempunyai undi majoriti menubuh kerajaan pintu belakang, kenapa sekarang takut menghadapi proses pengundian di Parlimen?

“Paling aneh kalau wabak Covid-19 adalah alasannya, kenapa makin banyak kebebasan di luar dibenarkan sementara Parlimen makin dikekang dan disempitkan?,” soalnya lagi.