Malaysia Dateline

PN tiada autoriti moral bentangkan RMK12

Kerajaan minoriti Perikatan Nasional (PN) yang bergayut untuk terus berkuasa bawah darurat tidak mempunyai autoriti moral untuk membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), tegas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Wakil rakyat PKR itu berkata, RMK12 mestilah digubal, dirangka, dirancang dengan teliti oleh sebuah kerajaan awam yang berwibawa yang ada integriti.

“Lebih-lebih lagi RMK12 perlu dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan.

“Dalam keadaan Parlimen sekarang digantung, bermakna kerajaan PN yang ada sekarang mengorbankan rancangan pembangunan lima tahun RMK12 itu semata-mata untuk terus berkuasa,” jelasnya.

RMK12 adalah rancangan pembangunan negara lima tahun bermula tahun ini. Wawasan 2020 berakhir tahun lalu bersama-sama berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Perlu disebut bahawa kerajaan darurat yang menggantung Parlimen tidak ada mandat untuk meluluskan RMK12,” katanya.

Sehubungan itu, Hassan mengingatkan pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) bertanggungjawab untuk tidak membuang masa dengan isu remeh-temeh.

Sebaliknya, beliau menegaskan PH mesti bersiap sedia sekarang dengan menggembleng tenaga pakar ekonomi mereka untuk merangka dasar bayangan RMK12.

“Isu ekonomi adalah penting kepada rakyat jelata seluruh kaum di negara kita sekarang ini.

“Tugas pemimpin utama PH ialah memberi harapan kepada lebih 32 juta rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.