Malaysia Dateline

PN tiada sikap sopan, ‘sporting’ dan ‘gentleman’ dalam politik

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional Dato Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menyifatkan ramai ahli politik termasuk para pimpinan negara kini sudah tiada sikap sopan terutama kepada Perlembagaan, rakyat dan negara.

Bercakap dalam Wacana Politik Kelantan siri ke-15 yang disiarkan secara langsung dalam Facebook Parti AMANAH Negeri Kelantan pada malam ini, beliau mengimbau krisis politik yang pernah berlaku di Kelantan pada 1977 dahulu.

“Setiap ahli politik perlu ada beberapa sifat, pertamanya sopan, keduanya sporting dan ketiganya gentleman.

“Sopan ini maknanya bersikap terbuka dalam menerima sebarang keputusan pilihanraya sama ada kalah atau menang.

“Kita tidak boleh jika menang maka kita lompat parti, khianat kepada mandat rakyat dan khianat kepada rakan seperjuangan sehingga menjatuhkan sesebuah kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat,” ujar Dato Wan Rahim.

Mantan Speaker DUN Kelantan itu juga mengulas sikap ketidaksopanan puak Langkah Sheraton yang diketuai oleh Mahiaddin Yasin hari ini apabila bertindak mengkhianati Pakatan Harapan dahulu.

“Berbeza di Kelantan pada 1977 dahulu, apabila usul undi tidak percaya dikemukakan kepada MB Kelantan ketika itu Dato Mohamad Nasir, usul itu diundi dalam DUN Kelantan.

“Apabila usul itu diterima dengan sokongan majoriti, Speaker DUN Kelantan ketika itu mempersembahkan perjalanan dalam sidang DUN termasuk keputusan usul undi tidak percaya itu kepada Sultan Kelantan.

“Di sini kita dapat lihat walaupun berlaku krisis politik yang hebat ketika itu, namun sikap semua ahli politik yang sopan dan menghormati perundangan, bersikap sporting dengan menerima keputusan yang dibuat dan bersikap gentleman dan terbuka itu adalah sesuatu yang boleh dipuji,” imbau mantan Pengerusi AMANAH Kelantan itu.

“Situasi politik sekarang, Mahiaddin dan kerajaan pimpinannya langsung tiada sikap sopan, sporting dan gentleman apabila tidak berani berhadapan sama ada dengan usul undi percaya atau tidak percaya kepada PM dalam Parlimen.

“Lebih menyedihkan apabila Speaker Dewan Rakyat hari ini langsung tidak mencontohi sikap terbuka Speaker DUN Kelantan pada 1977 dahulu yang sporting dan gentleman dalam membenarkan usul undi tidak percaya dikemukakan dan diundi dalam sidang Dewan pada ketika itu,” ulas beliau.