Malaysia Dateline

PN tidak ada pun majoriti mudah, kata Shafie

Perikatan Nasional tidak memperoleh undi majoriti mudah, malah sokongannya juga terlalu rendah dengan hanya perbezaan dua sokongan ketika keputusan undi belah bahagian semalam, yang menggugurkan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dari kerusi Speaker Dewan Rakyat.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ini membuktikan kedudukan kerusi PN ketika ini tergantung.

“Boleh dilihat daripada proses yang dijalankan semalam, orang boleh kata nombor itu sedikit, itu bukan majoriti mudah. Majoriti mudah ialah 112 daripada 222, mereka boleh berhujah seorang ahli Parlimen dimasukkan ke dalam wad kerana sakit, kami juga boleh berhujah beberapa ahli kami dibeli dan menyokong pihak di sana.

“Apa pun itu adalah jelas Parlimen yang tergantung, maka tiada sesiapa yang boleh mendakwa memiliki majoriti untuk memerintah negara.

“Saya rasa itu menunjukkan bagaimana perkara-perkara menjadi tidak pasti, sangat tidak jelas kerana Parlimen tergantung,” katanya dalam wawancara bersama media di Rumah Annex Sabah di sini hari ini, lapor BorneoToday.

Dalam pada itu, Shafie yang juga Presiden Warisan menjangkakan bahawa kemungkinan besar pilihan raya mengejut akan diadakan tidak lama lagi dan sekiranya ia berlaku, pembangkang telah bersedia sepenuhnya.

Terdahulu, kerusi Speaker berjaya dikosongkan dengan Mohamad Ariff digugurkan dari jawatannya selepas PN memperoleh 111 sokongan yang bersetuju dengan seramai 109 ahli Parlimen yang menolaknya.

Sementara itu, Shafie berkata, memerintah dalam status kerajaan yang sangat rapuh amat berisiko lebih-lebih lagi dengan pendirian kerajaan yang berubah-ubah dan semakin mengelirukan rakyat.

Justeru katanya, mengadakan pilihan raya adalah yang terbaik untuk menyelesaikan pergolakan politik yang berlaku.

“Saya percaya rakyat sudah bosan dengan ahli politik yang tiada pendirian, keliru dengan apa yang berlaku. Ada mencadangkan kembalikan kepada rakyat, biar rakyat buat keputusan.

“Jika anda tanya saya, mari adakan pilihan raya kenapa tidak? Sebab kita tidak mahu rakyat menyalahkan ahli politik seperti kami disebabkan kekalutan yang berlaku, jika pilihan raya maka rakyat akan buat keputusan, tiada sesiapa perlu dipersalahkan,” katanya.