Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kian kehabisan dana tidak harus terdesak untuk mencari wang tunai dengan secara rakus dan sembarangan dengan memangsakan perniagaan atau pembayar cukai yang sedang menderita akibat kemelesetan ekonomi.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, pengenalan baru Seksyen 103B bagi Undang-Undang Cukai Pendapatan adalah penolakan hak keadilan asasi pembayar cukai dan bidang kuasa mahkamah.
Menurutnya, peruntukan undang-undang itu menjadikan cukai harus dibayar walaupun “permulaan prosiding di bawah mana-mana undang-undang bertulis” atau dengan kata lain, “bayar dahulu bincang kemudian”.
“Pada masa lalu, pembayar cukai selalunya memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk perintah penangguhan melalui permohonan semakan kehakiman, di mana pembayar cukai dibenarkan untuk menahan pembayaran taksiran cukai sehingga penyelesaian kes.
“Pengenalan seksyen baru 103B ini, yang diwartakan pada 31 Disember tahun lalu akan memaksa pembayar cukai membayar terlebih dahulu tanpa menghiraukan sama ada taksiran itu tidak adil atau tidak masuk akal,” bidasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Jawatankuasa Perhubungan Parlimen DAP Bagan, Tasek Glugor Dan Permatang Pauh di Butterworth semalam.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berpendapat bersenjatakan dengan kuasa baharu yang diberikan oleh PN, banyak perniagaan yang sedang menderita akibat kemelesetan ekonomi dikenakan tindakan sedemikian oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntut pembayaran.
Sehubungan itu, beliau berkata, sekiranya PN enggan memansuhkan peruntukan yang tidak adil dalam Seksyen 103 itu, maka hanya pertukaran kerajaan yang dapat menghentikan penindasan melampau oleh Kerajaan PN.
Dalam masa sama, Guan Eng menegaskan kerajaan PN harus berani meminjam lebih banyak untuk berbelanja lebih besar dari pasaran hutang domestik, yang mempunyai kecairan yang tinggi sebanyak RM1.3 trilion.
“Sekiranya perlu, paras siling hutang kerajaan harus dinaikkan dari 60 peratus KDNK sekarang kepada 65 peratus atau bahkan 70 peratus,” tambahnya lagi.