Malaysia Dateline

PN tolak cadangan wujud satu lagi jawatan Timbalan Speaker

Majlis Tertinggi Perikatan Nasional membuat pendirian bahawa tidak ada keperluan untuk mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada masa ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin berkata, kewujudan dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat seperti mana yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persektuan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Selain itu, peruntukan Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat mempengerusikan Mesyuarat Dewan Rakyat pada masa ketiadaan Yang di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga adalah memadai bagi tujuan menjamin kesempurnaan perjalanan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Justeru, tiada keperluan bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, persefahaman antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama dan termaktub secara jelas dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada 13 September lalu.

Oleh itu katanya, pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum persefahaman tersebut.

Beliau juga mengingatkan bahawa cadangan pindaan perlembagaan itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Justeru, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya.

“Atas dasar ini, Perikatan Nasional telah membuat pendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan ini,” katanya dalam lagi.